MLTR kembali hidupkan nostalgia, Arena of Stars bergema dengan lagu-lagu ikonik

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KALAU sebut nama Michael Learns To Rock (MLTR), memang tak perlu diperkenalkan lagi  dan malam di Arena of Stars, Resorts World Genting, baru-baru ini membuktikan betapa kuatnya penangan trio legenda ini. 

Konsert Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia, anjuran MMIC Entertainment Group, menjadi medan nostalgia yang menyatukan ribuan peminat dari pelbagai generasi.

Lebih tiga dekad dalam industri muzik, aura MLTR nyata tidak pudar. 

Dari peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka sejak era 90-an, hinggalah generasi muda yang menemui semula karya Take Me To Your Heart melalui TikTok, semuanya larut dalam memori yang dibangkitkan menerusi lagu-lagu cinta penuh perasaan itu.

Di sebalik tirai muzik yang mendunia, tiga nadi utama MLTR tetap memukau dengan karisma masing-masing.

Jascha Richter, vokalis dan pemain kibod, tampil sederhana tetapi penuh wibawa. 

Suara jernihnya yang langsung tidak berubah sejak era kaset menghidupkan kembali magis setiap kali bait pertama lagu Someday bergema.

Di bahagian gitar, Mikkel Lentz dengan senyuman tak lekang menjadi wajah tenang yang mengikat melodi.

Petikan gitarnya dalam Blue Night dan It’s Gonna Make Sense mengingatkan peminat bahawa romantis MLTR bukan sekadar pada lirik, tetapi juga pada sentuhan instrumen yang penuh jiwa.

Sementara itu, Kåre Wanscher, si pemain dram, menjadi nadi yang memacu keseluruhan persembahan. 

Ketukan konsisten tanpa drama berlebihan cukup untuk menunjukkan disiplin yang menjadi tunjang keserasian mereka selama 30 tahun.

“Malaysia sentiasa ada ruang istimewa buat kami. Di sinilah perjalanan karier seni kami di Asia bermula,” ujar Jascha, disambut sorakan padu peminat, satu pengakuan yang menegaskan betapa kuatnya hubungan mereka dengan peminat tempatan.

MLTR mengalunkan rangkaian lagu yang membawa penonton mengembara dari zaman walkman ke era penstriman moden. 

Antara yang mencuri perhatian termasuk Sleeping Child, Complicated Heart, I Still Carry On dan The Actor.

Bahagian akustik pula menambahkan keintiman, dengan I’m Gonna Be Around, Out of The Blue dan Nothing To Lose menjadi pilihan yang menenangkan jiwa.

Ketika Paint My Love, 25 Minutes dan Love Will Never Die dimainkan, suasana berubah syahdu. 

Peminat mengangkat telefon bimbit, menghasilkan lautan kelipan cahaya seperti bintang. 

Ada yang menyanyi dalam sebak, ada yang berpelukan, membuktikan nostalgia MLTR benar-benar menyentuh hati.

Berbeza dengan kebanyakan band moden yang sarat dengan efek visual, MLTR kekal setia pada konsep sederhana. 

Pentas ringkas, pencahayaan lembut biru ungu dan latar visual awan sudah cukup untuk membingkai malam penuh romantik itu.

Antara detik manis termasuk Jascha turun ke bahagian penonton, memberikan mikrofon kepada peminat yang menyanyi penuh semangat.

 

Mikkel dan Kåre yang memerhati dari belakang jelas tersentuh melihat lagu ciptaan mereka kekal relevan merentasi generasi.

Konsert mencapai kemuncaknya dengan That’s Why, dinyanyikan bersama 4,000 peminat yang membanjiri Arena of Stars. 

Persembahan yang berlangsung kira-kira dua jam itu menjadi catatan manis untuk perjalanan MLTR di Malaysia tahun 2025.

“Ia seperti balik ke rumah,” kata Jascha sebelum meninggalkan pentas.

Ringkas, tetapi cukup signifikan buat peminat Malaysia yang setia menyokong mereka sejak awal pembabitan di Asia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Demi masa depan, Kim K ketepikan ego, sanggup beratur panjang uji bakat Suria Records

SEMANGAT kental peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua, Kim K dalam mengejar impian sebagai anak seni...

More Articles Like This