Membuka tirai persembahan dengan lagu Someday dan Sleeping Child, kehadiran kumpulan popular dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) menghangatkat pentas Arena of Stars, Resort World Genting, pada Ahad lalu sempena konsert jelajah mereka, Take Us To Your Heart.

Dianggotai Jascha Ritcher sebagai vokalis, Mikkel Lentz gitaris dan Kare Wanscher sebagai pemain drum, kemunculan kumpulan yang sudah berusia lebih tiga dekad ini membuai lebih 5,000 peminat yang hadir malam itu dengan seleksi lagu-lagu hits mereka.

Michael Learns To Rock, menghiburkan lebih lima ribu peminat di Arena Of Stars, Genting Highlands.

“Tahukah anda, kali pertama kami datang membuat persembahan di Asia adalah di Hard Rock Café Kuala Lumpur 30 tahun lalu. Ketika itu, kami menyanyi di depan hanya 300 penonton saja,” imbau Mikkel, mengimbas perjalanan karier seni mereka yang membesar bersama peminat.

Pada sesi kedua menyaksikan kumpulan ini menyampaikan tiga buah lagu – I’m Gonna Be Around, Nothing To Lose dan Out Of The Blue secara akustik.

Tampil menyajikan peminat setia mereka dengan 18 buah lagu seperti A Life To Remember, 25 Minutes, The Actor, Breaking My Heart, Love Will Never Lie, tidak dapat dinafikan MLTR masih bertenaga seperti dahulu walaupun ahli kumpulannya sudah bertaraf ‘warga emas’.

Vokalisnya, Jascha sudah berusia 61 tahun, namun suaranya masih tidak berubah, manakala dua ahli lain sudah berusia 55 tahun dan masih cergas di atas pentas untuk memberikan persembahan bertenaga sama seperti dahulu.

“Apabila kita berumur 40 tahun, kita rasa seperti dunia akan berakhir. Bila memasuki usia 50 tahun dan lihat diri kita di cermin, kita rasa ok, mungkin saya sedikit tua. Dan bila menjengah umur 60 tahun, barulah kamu sedar ia adalah masa sepanjang kehidupan anda,” ujar Jascha, ketika berborak seketika dengan penonton.

Pada usia 61 tahun, persembahan vokal Jascha masih sama seperti dahulu.

Manakala Kare pula berkongsi momen terawal dalam perjalanan karier mereka. “Kami masih ingat ketika itu kami sedang memandu dalam kereta dan tiba-tiba buat pertama kali kami dengar lagu kami dimainkan di radio. Untuk menyimpan momen istimewa itu, kami capai kamera dan ambil foto radio kereta itu. Ia saat yang sangat istimewa, walaupun foto itu sebenarnya agak membosankan,” katanya sambil berjenaka.

Konsert malam itu juga memberi liputan sama adil kepada anggota MLTR. Setiap stesen ahli dilengkapi kamera yang memaparkan paparan wajah mereka pada skrin gergasi sewaktu persembahan berlangsung.

Dengan pengalaman selama 36 tahun dalam industri muzik dan telah menghasilkan 9 buah album studio dengan jualan melebihi 11 juta di seluruh dunia, MLTR sudah arif bagaimana untuk menghiburkan peminat mereka yang sama-sama ikut menyanyi bersama.

Sempat Mikkel berjenaka mengapa mereka dinamakan Michael Learns to Rock kerana pada peringkat awal memilih genre muzik, mereka memang mahukan rock n roll, namun selepas itu laluan membawa mereka kepada ballad dan pop rock. Dan untuk menunjukkan bagaimana rupa kumpulan ini jika menyampaikan lagu rock, lagu Wild Woman didendangkan.

Selepas menyanyikan dua lagu hits mereka, You Took My Heart Away dan Paint My Love, kumpulan ini meninggalkan pentas. Sudah tentu seperti kebiasaan konsert, peminat menjerit meminta mereka kembali semula ke atas pentas.

MLTR masuk semula dan menyampaikan lagu Take Me To Your Heart dan That’s Why (Yo Go Away) sebagai pelengkap dan penutup tirai persembahan malam itu.