‘Pesta demokrasi’ PRN Sabah ke-17 bermula hari ini

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

GELANGGANG ‘pesta demokrasi’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membuka tirai menerusi proses penamaan calon dijadual berlangsung hari ini.

Proses penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17 akan dilaksanakan di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan hari ini.

Tempoh satu jam diberikan iaitu dari 9 hingga 10 pagi untuk penyerahan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Calon kemudiannya mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan pengundi, iaitu sehingga 11.59 malam pada 28 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah adalah pada 25 November manakala hari pengundian pada 29 November.

Secara keseluruhan, seramai 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

PRN Sabah ke-17 kali ini dijangka meriah dengan pertandingan pelbagai penjuru bakal dilihat di kebanyakan kerusi.

Menarik untuk diperhatikan sama ada terdapat pertembungan antara parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, kerusi DUN Karamunting dijangka memperlihatkan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan PKR.

Turut menarik perhatian dalam PRN Sabah kali ini adalah legasi bekas Ketua Menteri yang kini Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerusi dua anaknya iaitu Datuk Yamani Hafez Musa diumumkan sebagai calon PKR bagi DUN Sindumin.

Adik Yamani Hafez iaitu Hazem Mubarak Musa pula dicalonkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Sungai Manila.

Selain anak, legasi Musa diteruskan menerusi menantu, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif sebagai calon di DUN Membakut manakala calon GRS bagi DUN Liawan, Datuk Anuar Ayub, dan adiknya, Mohd Ishak yang bertanding atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula merupakan anak saudaranya.

Baca artikel lain: PRN Sabah: 25 PPC siap sedia menjelang hari penamaan calon

Sementara itu, calon GRS bagi DUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pula adalah biras Musa.

Tan Sri Anifah Aman yang juga adik kepada Musa turut disenaraikan sebagai calon GRS mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), parti yang dipimpinnya sendiri sebagai Presiden.

Selain ‘keluarga Musa’, PRN Sabah kali ini juga bakal menampilkan pasangan suami isteri menerusi bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Puan Sri Diana Diego.

Kedua-duanya akan bertanding atas tiket GRS dengan Pandikar bakal diletakkan di kerusi Pintasan manakala Diana di Sekong.

Tidak terkecuali gandingan adik-beradik juga bakal bertanding sebagai calon sama ada dalam satu parti yang sama atau berbeza ‘pegangan’ masing-masing.

Antara adik-beradik yang akan bertanding adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mewakili Warisan di DUN Senallang dan adiknya Datuk Mohd Yusof Apdal di DUN Silam.

Setakat 10 malam tadi, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP tujuh, yang kesemuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Barisan Nasional (BN) pula yang melibatkan UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung akan bertanding di 45 DUN.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan akan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Parti Warisan (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN, Perikatan Nasional (41 DUN) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan bertanding di 25 kerusi DUN, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam DUN) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama Gelombang Hitam (Black Wave) turut bertanding pada PRN ke-17.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Azam Baki kekal sah anggota Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027

PUSAT Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menegaskan kehadiran Tan Sri Azam Baki pada Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC, 30 Jun...

More Articles Like This