POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di kawasan Kamunting.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu pada jam 1.50 pagi semalam.
Katanya, ia dimaklumkan seorang remaja kepada sepasukan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Kamunting.
Menurut beliau, remaja itu memaklumakn bahawa dia melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka penutup lubang kabel di tepi jalan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya membuat tangkapan terhadap empat orang lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel.
“Kesemua suspek ditangkap ketika sedang membuka penutup lubang kabel di tepi Jalan Kamunting – Batu Kurau (hadapan Kolej Vokasional Taiping),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, turut dirampas pihak polis adalah peralatan khas untuk membuka penutup lubang kabel, dua bilah parang, dua unit pemutar skru dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang digunakan oleh suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 17 november 2025 bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Mohamad Nasir berkata, Polis Daerah Taiping merakamkan penghargaan kepada remaja tersebut yang menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak polis.
Beliau berkata, Polis Daerah Taiping juga menyeru kepada masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.
“Setiap perlakuan jenayah pastinya menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat setempat.
“Oleh demikian, Polis Daerah Taiping akan mengambil langkah yang proaktif bagi memastikan daerah Taiping sentiasa selamat didiami dan selamat dilawati,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

