KARNIVAL Ban Canal (KBC) 2025 kembali berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November lalu menarik 20,000 pengunjung, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara pelancongan utama daerah ini.
Program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), MBI melalui Sabak Bernam Development Area (SABDA) itu menumpukan promosi pelancongan berasaskan alam semula jadi, budaya dan pertanian, selain mengangkat warisan terusan Ban Canal sebagai tarikan utama.
Malah, karnival berkenaan diangkat sebagai ‘Best Tourism Event’ pada Tourism Industry Award 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA), mengiktiraf komitmennya terhadap pelancongan lestari dan penglibatan komuniti.

Sejak diperkenalkan pada 2022, KBC menjadi antara projek pemangkin di bawah SABDA, seiring pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang.
Dengan tema “Alam. Budaya. Lestari.”, program tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan, pameran agro serta jualan produk tempatan.
Terusan Ban Canal sepanjang 30 kilometer yang dibina sejak era British terus menjadi simbol warisan pertanian dan ekologi daerah ini, sekali gus menjadi fokus utama promosi pelancongan desa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, penganjuran itu selari usaha memperkenalkan keunikan Sabak Bernam kepada pelancong sekali gus memupuk kesedaran terhadap pembangunan hijau.

“Penganjuran ini adalah langkah strategik memperkenalkan keunikan warisan pertanian dan ekologi Selangor khususnya Sabak Bernam kepada dunia, sekali gus memupuk kesedaran terhadap pentingnya konsep pembangunan hijau dan lestari.
“Melalui inisiatif ini, kita berharap dapat memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta menyumbang kepada ekonomi negeri, menjaga kelestarian biodiversiti dan warisan budaya tempatan.
“Kejayaan acara ini akan memperlihatkan sinergi erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan, serta mengukuhkan cita-cita negeri Selangor menjadi negeri hijau, makmur dan berdaya tahan infrastruktur dan alam sekitar.
“Diharapkan dengan penganjuran karnival ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan dalam menyokong pembangunan lestari untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Haji Rizam Haji Ismail, pula berkata karnival itu menjadi pemangkin kepada peluang ekonomi setempat.
“KBC bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat komuniti Sabak Bernam dalam mengekalkan warisan dan memajukan ekonomi setempat.
“Melalui penganjuran ini, kita memperkukuh identiti daerah sebagai pusat pelancongan berasaskan alam dan pertanian yang lestari.
“Saya percaya sasaran 20,000 pengunjung tahun ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi yang signifikan kepada masyarakat tempatan serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan untuk generasi muda Sabak Bernam,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts. Saipolyazan M. Yusop, menegaskan inisiatif Ban Canal seiring misi memperkasakan pembangunan luar bandar secara berstruktur.
“Inisiatif ini sejajar dengan komitmen MBI dalam memperkukuh agenda pembangunan wilayah luar bandar melalui pendekatan mampan dan inklusif.
“KBC menjadi simbol sinergi antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar yang menjadi teras kepada strategi pembangunan negeri Selangor.
“MBI, melalui SABDA, akan terus menyokong usaha menjadikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan ekologi utama di Malaysia yang berupaya menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam,” kongsinya.

