BANYAK pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di Sabah terbengkalai apabila kerajaan negeri bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada gabungan parti lain.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN mentadbir banyak kawasan yang mula mendapat manfaat termasuklah kawasan luar bandar hinggakan Projek Lebih Raya Pan Borneo dilaksanakan.
Katanya, Sabah kaya dengan hasil bumi namun malangnya 3 serangkai – elektrik, air, jalan raya – masih berterusan gagal diselesaikan.
“Apabila kerajaan bertukar tangan semuanya terbengkalai dan kelestarian yang didamba rakyat terus hilang malah semakin mundur. Jangan salahkan BN atas kelewatan atau permasalahan 3 serangkai yang makin parah, sebaliknya nilai kembali apa yang berlaku lantas pilihlah yang terbaik.
“BN kini bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan misi ‘Bikin Balik Sabah’ iaitu usaha untuk menyambung semula legasi pembangunan yang telah direncana, kerana parti lain sememangnya gagal … maka kenapa perlu memilih mereka…,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel lain: Penarikan diri calon DUN Silam, semangat setiakawan kerjasama politik jadi keutamaan PKR Sabah
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, penduduk Sabah boleh menilai keadaan yang dialami mereka dalam setiap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan negeri dalam waktu parti-parti tersebut berkuasa.
Paling utama, katanya, rakyat Sabah boleh melihat siapa pemimpin tertinggi dan di mana akar umbi mereka seperti dua parti politik utama di negeri itu iaitu GRS dan Warisan.
“GRS dan Warisan diketuai Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal… kedua-duanya lahir daripada kepimpinan yang berpaksikan UMNO/BN.
“Mereka ini diangkat oleh perjuangan akar umbi hingga menjadi menteri, ada tanggungjawab penuh dari Pusat untuk kemajuan Sabah namun akhirnya yang ‘kaya raya’ adalah mereka sedangkan anak bumi Sabah kekal dalam keadaan sedia ada.
“Lebih teruk apabila perjuangan dalam UMNO/BN ditinggalkan … ‘melompat’ dan kini menentang BN iaitu parti yang telah menaikkan mereka dalam politik tanah air… ibaratnya kini mengkhianati nilai ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang pernah diangkat. Sudahlah ibarat kacang lupakan kulit malah menggigit pula tangan yang menyuap,” katanya.
Tengku Adnan menambah, lebih dari itu, kepimpinan BN dituduh dengan pelbagai perkara dan diburukkan lantaran mahukan undi diraih dari sokongan rakyat.
Katanya, tuduhan ‘dinasour politik’ dituding sedangkan hakikatnya mereka menyembunyikan apa yang mereka ada dengan menyalahkan UMNO/BN.
Jelas Tengku Adnan, tingkah mereka ibarat menegakkan benang yang basah, memburukkan UMNO/BN dan kepimpinan walhal merekalah yang melakukan pelbagai pengkhianatan, bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada rakyat.
“Mereka meraih kejayaan, mengaut kemewahan dan mencapai kegemilangan dengan menjadikan UMNO/BN batu loncatan untuk keuntungan peribadi dan kini rakyat di gula-gulakan dengan pelbagai manipulasi dan persepsi memburukkan BN,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

