ADAKALANYA saya agak skeptikal dengan mereka yang beria-ia bercakap soal perjuangan rakyat, perjuangan bangsa atau ‘terpaling’ pejuang ini, pejuang itu.
Sekian lama mengenali manusia-manusia sebegini, kebanyakannya, di sebalik tabir dialah perosak bangsa dengan menunggang itu ini, berpura-pura, munafik dan akhirnya ‘memakan’ bangsanya sendiri.
Ramai yang sebegitu. Mula-mula dengan platform ini, esok lusa ‘berpindah’ atau ‘menjadi katak’ melompat ke platform yang lain atas alasan nak perjuangkan bangsa.
Berada di platform lain, dia bertindak pula ‘menikam’ platform asal yang dianggotainya sebelum ini.
Begitulah lumrah kehidupan sang munafik perjuangan yang sebenarnya hanya mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja di arena politik, arena kerjaya pun begitu dan juga lapangan kehidupan lain. Akan kita jumpa manusia sebegini, ibarat ‘gunting dalam lipatan’, ibarat ‘melepaskan anjing tersepit’, ibarat ‘sekelat muka dua’.
Mereka ini hidup dalam kepura-puraan, hari ini menyokong yang sana, hari esok pula bertindak menikam sesiapa sahaja demi kelangsungan hidup peribadi.
Dalam arena perniagaan juga begitu. Maka kita dengar ada yang mengadu perniagaan mereka terkena sihir, difitnah dan diburuk-burukkan oleh manusia munafik.
Pelakunya pula, ada ketika orang yang kita kenal atau pernah menjadi rakan sekerja atau teman baik.
Tetapi apabila bercakap soal bangsa, dialah yang terdahulu ke hadapan biarpun ada sebangsanya menderita dek perbuatannya.
Sebab itu saya skeptikal dengan spesies sebegini kerana sudah ada pengalaman mendepani apa yang berlaku sebelum ini.
Hati penuh muslihat
Tak kiralah yang sudah pergi ke Tanah Suci berkali-kali, mulut tak lekang dengan kata-kata nasihat tetapi hati penuh dengan muslihat dan perancangan jahat.
Bukan hendak serkap jarang tetapi pengalaman mengajar kita untuk memahami manusia sebegini.
Ingat pesanan tokoh pemikir yang saya kagumi, Buya Hamka. Kata beliau: “Hidup ini singkat, maka jangan sia-siakan dengan hal yang tidak bermanfaat”.
Pesan beliau lagi: “Janganlah terlalu terikat kepada materi atau keduniaan, kerana itu hanya akan membuat kita merasa terusik dan tidak tenang”.
Bak British Idiom: “A Snake in the grass”. Ia jelas memberi makna seseorang yang berpura-pura baik tetapi bahaya dan mengkhianati.
Hidup ini cukup mudah, tuan-tuan. Apa rezeki yang kita peroleh, pastikan ia tidak disulami khianat dan kemunafikan terhadap orang lain.
Jadi pejuang, biarlah pejuang sejati, bukannya pejuang yang berdendam dan menyakiti hati orang lain atau khianat.
Jika tidak, hiduplah di pentas mana sekalipun, hati pasti tak akan tenang. Allah jua yang lebih mengetahui.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

