RAKYAT China menjadi warganegara asing paling tinggi merekodkan transaksi jual beli kediaman bagi tempoh separuh pertama tahun ini sehingga Jun lalu.
Berdasarkan Laporan Transaksi Harta Tanah Kediaman Mengikut Negeri dan Kumpulan Etnik Malaysia bagi Separuh Tahun Pertama 2025 yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), warganegara China merekodkan sebanyak 329 transaksi bernilai RM834.65 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, ia diikuti warga Singapura yang mencatatkan sebanyak 320 transaksi bernilai sehingga RM518.27 juta.
Selain dua negara itu, Kor Ming memberitahu, India; United Kingdom (UK); Indonesia; Hong Kong; Amerika Syarikat (AS); Korea Selatan; Taiwan dan Australia turut direkodkan antara 10 warganegara asing tertinggi memiliki kediaman di negara ini.
Secara keseluruhan, beliau berkata, transaksi jual beli rumah oleh bukan warganegara adalah sebanyak 913 dengan nilai RM1.904 bilion iaitu 0.76 peratus daripada keseluruhan jumlah bilangan transaksi.
Menurut Kor Ming, bilangan nilai keseluruhan transaksi juga adalah 3.8 peratus berbanding transaksi jual beli oleh warganegara iaitu sebanyak 119,394 dengan nilai RM47.47 bilion.
“Ini menunjukkan pasaran hartanah tempatan masih dikuasai pembeli domestik.
“Kerajaan MADANI komited dalam menyediakan perumahan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif bersepadu oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.
“Komitmen ini selaras dengan hasrat agar tiada yang tertinggal dalam mendapatkan hak asas mereka iaitu kediaman yang kondusif dan selamat agar mereka dapat menikmati kehidupan yang sejahtera,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Baca artikel lain: Kor Ming beri komitmen sedia jernihkan keadaan – Fahmi
Kor Ming menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah warga asing yang telah berjaya memiliki rumah di seluruh Malaysia dan 10 negara tertinggi serta syarat-syarat utama dalam pemilikan tersebut.
Dalam pada itu, Kor Ming menjelaskan dasar pemilikan hartanah warga asing adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Katanya, penetapan bagi penjualan sama ada kepada warganegara atau warga asing seperti juga kuota bumiputera atau harga jualan kepada warga asing adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Melalui Belanjawan 2026, Kor Ming berkata, kerajaan turut bercadang menaikkan kadar duti setem ke atas pindah milik hartanah kediaman oleh warganegara asing dan syarikat milik asing kepada kadar rata lapan peratus berbanding empat peratus sebelum ini.
“Kementerian ini bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri khususnya dalam bidang perumahan agar manfaat dapat dinikmati oleh rakyat.
“Keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah bagi memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal tanpa mengira sama ada secara pemilikan atau sewaan di bawah konsep perumahan sebagai tempat tinggal.
“Ini adalah selaras dengan hasrat dan matlamat Dasar Perumahan Negara (2018-2025) untuk menyediakan perumahan yang inklusif, berkualiti, mampu dimiliki dan berdaya huni bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

