SEBANYAK RM433.6 juta telah dibelanjakan bagi pengurusan banduan untuk tahun ini sehingga 26 September lalu berbanding RM490.2 juta bagi keseluruhan tahun 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perbelanjaan itu merangkumi kos pengurusan, utiliti, keperluan asas dan makanan.
Selain itu, kata beliau, ia turut meliputi kos kesihatan, pengiringan ke mahkamah dan hospital serta program pemulihan dan reintegrasi penghuni.
Dari segi jumlah kemasukan banduan, Saifuddin Nasution berkata, seramai 355,604 orang telah direkodkan pada tahun 2024 terdiri daripada 263,412 orang warganegara manakala 92,192 bukan warganegara.
“Bagi tempoh sehingga 24 September lalu pula, jumlah kemasukan banduan adalah seramai 278,272 orang yang direkodkan terdiri daripada 199,463 orang warganegara dan 78,809 bukan warganegara.
“Majoriti banduan berada dalam lingkungan umur 31 hingga 40 tahun dengan tempoh hukuman kebanyakannya antara satu hingga enam tahun,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (Bebas-Jeli) berhubung kos perbelanjaan kementerian bagi banduan untuk tahun 2024 dan 2025.
Baca artikel lain: AI boleh jadi perisai lindungi rakyat – Saifuddin
Zahari turut bertanyakan pecahan mengikut warganegara, umur, jenis hukuman dan tempoh tahanan bagi perbelanjaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, seramai 355,604 orang telah direkodkan pada tahun 2024 merangkumi 225,961 banduan kategori reman manakala 129,643 banduan kategori sabitan.
Bagi banduan kategori reman, beliau memberitahu, seramai 176,625 merupakan warganegara dan bakinya adalah warga asing.
Katanya, seramai 86,787 orang banduan adalah warganegara kategori sabitan dan 42,856 bukan warganegara.
“Sementara itu, sehingga 24 September 2025, daripada 27,272 orang yang direkodkan, terdapat seramai 174,356 orang adalah kategori reman dan seramai 103,916 banduan kategori sabitan.
“Jabatan Penjara Malaysia terus mengekalkan komitmen yang tinggi dalam memastikan kebajikan, kesihatan serta pengurusan banduan dilaksanakan dengan teratur.
“Tumpuan diberikan bukan sahaja kepada penyediaan keperluan asas, malah turut diperkukuh melalui program pemulihan, pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental dan peluang reintegrasi yang berkesan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

