KERJA-KERJA lanjutan yang diperlukan bagi inisiatif peremajaan jenama oleh syarikat konsortium perunding masih belum dimuktamadkan dan sedang diperhalusi Tabung Haji (TH).
Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengenai inisiatif peremajaan jenama TH oleh syarikat berkenaan yang berjumlah RM5.9 juta.
Menurut beliau, setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.
“TH mengesahkan peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding untuk inisiatif peremajaan jenama ini adalah RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
“TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan dan ia masih belum dimuktamadkan,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kos keseluruhan penjenamaan TH bermula daripada bayaran konsultan sehingga kerja-kerja lain.
Mohd. Na’im memberitahu, hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain yang dimeterai setakat ini.
Guna pakai bajet sedia ada
Peruntukan ini juga katanya, mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH.
Menurut beliau, inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.
Katanya, matlamat inisiatif ini adalah untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.
“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik.
“Pada masa ini juga, 53 peratus daripada 9.7 juta orang pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.
“Kira-kira 50 peratus jemaah haji bagi tahun ini yang terpilih telah menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya.
Katanya, mengambil kira kesemua faktor ini dan berdasarkan data dan trend kajian yang teliti telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan inisiatif berkenaan.
Tambah beliau, ini bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten.

