PIHAK Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan agar rakyat Malaysia menangguhkan perancangan untuk melancong atau melawat selatan Thailand buat masa ini.
Menurutnya, ini ekoran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan serta banjir yang sedang melanda dikebanyakan kawasan di selatan Thailand.
“Rakyat Malaysia yang sedang berada di selatan Thailand dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca, mengikuti pengumuman, berita dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa serta menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia itu menambah, bagi yang memerlukan bantuan konsular, nombor pegawai bertugas yang boleh dihubungi seperti berikut:Â Pegawai Bertugas (Duty Officer): +6681-9901930 atau e-mel: [email protected].
Terdahulu UtusanTV melaporkan hujan lebat sepanjang dua hari ini menyebabkan bandar pelancongan popular di selatan Thailand, Hatyai, dilanda banjir menyebabkan ramai pelancong termasuk warga Malaysia terperangkap di penginapan masing-masing.
Menurut laporan The Nation, Datuk Bandar Hatyai, Narongporn Na Phattalung mengumumkan perisytiharan bencana meliputi 65 komuniti selepas hujan lebat luar biasa menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi.
Beliau berkata, air naik dengan cepat di seluruh kawasan bandar.
Dalam satu hantaran di Threads, seorang wanita warga Malaysia menggunakan media sosial untuk meminta bantuan berikutan terkandas di sebuah hotel di Hatyai.
Menerusi hantaran tersebut, wanita dikenali sebagai Lily Suriani meminta bantuan pihak kedutaan dan orang ramai termasuk untuk mendapatkan bekalan susu serta lampin pakai buang dua anaknya berusia dua dan empat tahun.

