HUJAN lebat sepanjang dua hari ini menyebabkan bandar pelancongan popular di selatan Thailand, Hatyai, dilanda banjir menyebabkan ramai pelancong termasuk warga Malaysia terperangkap di penginapan masing-masing.
Menurut laporan The Nation, Datuk Bandar Hatyai, Narongporn Na Phattalung mengumumkan perisytiharan bencana meliputi 65 komuniti selepas hujan lebat luar biasa menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi.
Beliau berkata, air naik dengan cepat di seluruh kawasan bandar.
Terdahulu dalam satu hantaran di Threads, seorang wanita warga Malaysia menggunakan media sosial untuk meminta bantuan berikutan terkandas di sebuah hotel di Hatyai.
Menerusi hantaran tersebut, wanita dikenali sebagai Lily Suriani meminta bantuan pihak kedutaan dan orang ramai termasuk untuk mendapatkan bekalan susu serta lampin pakai buang dua anaknya berusia dua dan empat tahun.
“Kami perlukan bantuan berikutan bekalan makanan di sebuah kedai serbaneka berdekatan juga sudah habis. Kami perlukan makanan dan air mineral untuk kelangsungan hidup.
“Sesiapa dapat tolong, kami terperangkap di Hatyai banjir besar. Air makin naik.
“Ramai lagi perlukan bantuan di sini termasuk yang ada bayi. Bekalan elektrik terputus dan lif dah tak boleh guna,” katanya.
Lily Suriani juga memberitahu tiada makanan dan semua kedai tidak buka akibat banjir itu.

