Bapa sakit, KRU hampir batalkan konsert

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KONSERT GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung meriah di Stadium Hoki,Bukit Jalil malam tadi rupa-rupanya hampir tidak menjadi kenyataan. 

Pendedahan Datuk Norman Abdul Halim selepas persembahan mendedahkan beban emosi yang ditanggungnya apabila bapa tercinta, Abdul Halim Kamal, 84, disahkan dalam keadaan kritikal kira-kira tiga minggu lalu.

Menurut Norman, ketika dia bersama dua adiknya, Datuk Yusry dan Edry sibuk menyiapkan persiapan akhir untuk konsert penutup tirai 2025 itu, mereka pada masa sama berdepan situasi genting apabila bapa dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman.

“Saya sebenarnya sebak bila Edry berkongsi keadaan bapa di pentas. Terus terang, saya tak beritahu Iman Tang (penganjur) yang saya sebenarnya ragu-ragu nak teruskan konsert ni kerana keadaan bapa sangat kritikal.

“Dalam masa sibuk latihan, kepala kami serabut fikirkan bapa. Saya sendiri terpaksa ulang-alik hospital dan bahagikan masa sebaik mungkin,” katanya kepada media pada sidang media usai konsert berakhir. 

Trio bersaudara itu akui bapa mereka cukup teruja menantikan konsert berskala besar itu. 

Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan memandangkan bapanya masih memerlukan rawatan intensif.

“Bapa sebenarnya sangat teruja sebab konsert ini lebih besar dan gah daripada persembahan di Axiata Arena.

“Tapi saya pujuk dia untuk tidak risau sebab ramai sangat orang dan keadaan cuaca pun tak menentu,” ujarnya.

Bagi menenangkan hati bapa, Norman menyatakan mereka akan membuat persembahan di atas kapal persiaran selepas ini, suasana yang lebih selesa dan sesuai.

“Saya pujuk bapa dan beritahu dia yang kami akan buat persembahan lagi di kapal persiaran. Mungkin dekat situ lagi seronok sebab tak terlalu ramai orang.

“Keadaan cuaca juga tidaklah terlalu merisaukan sebab kita berada dalam kapal dan bapa akan lebih selesa dalam tu.

“Apa-apa pun saya, Yusry dan Edry bersyukur sebab bapa pun sudah balik rumah dan semakin beransur pulih,” kongsinya.

Dalam masa sama, Edry diduga dengan kekejangan otot hingga muntah akibat terlalu keletihan dan kurang makan selepas selesai konsert.

Screenshot

Dia yang pada awalnya tidak tampil di sidang media, namun tetap kuatkan diri untuk menyertai sesi tersebut bersama pihak media.

“Saya mohon maaf tak dapat lama di sidang media. Otot saya alami kekejangan selepas konsert, mungkin sebab terlalu penat.

“Tak mengapa Norman dan Yusry boleh bercakap bagi pihak saya,” katanya ringkas.

Konsert yang menghimpunkan lebihh 10,000 peminat itu menyaksikan KRU mendendangkan 16 lagu pilihan, selain beberapa kejutan yang menghangatkan lagi suasana.

Kemunculan kumpulan nasyid popular, Rabbani menerusi lagu Intifada membuatkan suasana dalam stadium bertukar gamat!

Malah, penampilan Juliana Banos selepas sekian ‘hilang’ dari radar seni menerusi Sehidup Semati cukup membuatkan peminat mengubati kerinduan mereka.

Selain itu, penyanyi Adam juga hadir di pentas menyampaikan lagu Terhangat Di Pasaran.

Kumpulan Elite juga tidak ketinggalan berduet bersama KRU.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kaki drama bersorak! Viu & iQIYI bergabung tenaga, tawar pakej langganan ‘dua dalam satu’

BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari...

More Articles Like This