Festival Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bakal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi festival raya terbesar pertama dianjurkan di puncak tertinggi Putrajaya, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula Februari tahun depan.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, pemilihan PICC sebagai lokasi rasmi festival adalah bertepatan dengan statusnya sebagai bangunan ikonik bertaraf antarabangsa yang dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi untuk penganjuran acara berskala besar.
Menurutnya, festival itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat dengan menghimpunkan lebih 300 usahawan serta mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan, selain mengangkat Putrajaya sebagai destinasi perayaan utama negara.

“Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar sebuah bazar, tetapi ruang yang menyatukan budaya, komuniti dan pelancongan. Ia turut menonjolkan warisan negara melalui busana kebaya dan batik Edisi Ramadan–Raya sebagai simbol identiti seni tekstil negara.
“Dengan sokongan pelbagai rakan rasmi, kami mahu festival ini menjadi satu pengalaman bermakna dan berimpak bagi masyarakat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setiap kali menjelang Ramadan,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Mengulas lanjut, Rayme berkata, festival bertemakan ‘Lebih Tinggi, Lebih Meriah, Lebih Raya’ itu menjadi antara acara utama menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui kombinasi elemen kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana lokasi ‘hilltop’ yang unik.

Festival berkenaan bakal menampilkan lebih 300 usahawan merangkumi segmen fesyen, tekstil, kraftangan, produk artisanal dan gaya hidup.
Zon gastronomi pula menjadi tumpuan utama melalui Grab & Go Café dengan kerjasama Anjung E.A.T.S yang menghimpunkan 20 usahawan makanan menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur berkonsepkan ‘hilltop street food’.
“Turut menyerikan festival adalah pengisian kerohanian seperti tazkirah dan solat terawih, persembahan seni budaya, demonstrasi masakan, bengkel kraf, sesi ramah mesra selebriti dan persembahan artis terkenal termasuk konsert mini Syawal Showcase.
“Persembahan runway, paparan tekstil serta kolaborasi bersama artisan juga dijangka menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. Selain itu, inisiatif Infaq Ramadan dan kempen kemanusiaan The Pelita of Hope bagi bantuan kepada Palestin turut dianjurkan.

“Kami juga merancang penganjuran Malam 7 Likur bagi menyemarakkan suasana tradisi di mana kawasan bukit akan diterangi pelita sebagai simbol harapan dan perpaduan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Rayme memberi jaminan bahawa kemudahan di PICC memudahkan orang ramai berkunjung ke festival tersebut dengan penyediaan 1,200 tapak parkir percuma melalui pengesahan resit beli-belah, selain surau yang luas dan selesa yang mampu menampung 300 jemaah pada satu masa.
Festival itu dianjurkan bersama PULSE Group dan PULSE Event Management (PEM) serta menerima sokongan Pulse Grande Hotel Putrajaya sebagai hotel rasmi. Ia akan berlangsung mulai 15 Februari sehingga ambang 1 Syawal dengan pelbagai program, aktiviti dan jualan.
Raydiates Blue sebelum ini mencatat kejayaan besar menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang menarik lebih satu juta pengunjung melalui 330 lot niaga selain merekodkan jualan melebihi RM10 juta dalam tempoh 33 hari.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 013-5086807 / 012-3637723 atau melayari Instagram rasmi @GemaRayaPutrajayaPICC dan @Raydiatesblue.

