BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai ikon unggul apabila menerima anugerah berprestij, Lifetime Achievement Award (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top50 Women of Excellence Awards 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.
Anugerah khas itu merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan cemerlangnya yang melangkaui bidang seni dan keusahawanan, serta impaknya dalam menginspirasikan generasi wanita masa hadapan.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur kerana memilih saya.
“Saya rasa ini satu tanggungjawab yang saya galas dan Ia juga satu penghormatan.
“Bukan sebab saya dikenali semata-mata, tetapi saya percaya ia berdasarkan apa yang saya sumbangkan kepada industri muzik dan perniagaan selama ini,” katanya kepada URTV.

Dalam masa sama, Siti tidak ketinggalan berkongsi pandangannya tentang peranan wanita yang semakin menyerlah dalam pelbagai bidang.
“Wanita bukan lagi hanya duduk di dapur, jaga anak. Kita boleh lihat ramai wanita berada di barisan hadapan.
“Dan apabila penganjur menghargai wanita-wanita hebat dalam Malaysia, ia membuktikan kita mampu berdiri sama tinggi dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“Suri rumah pun luar biasa besar pengorbanannya. Selagi saya ada kudrat dan kesihatan, saya akan terus berbakti kepada bidang saya dan memberi semula kepada masyarakat.
“Bagi saya, tidak ada istilah lambat atau tidak boleh. Allah beri kita anugerah dan kelebihan masing-masing. Tinggal lagi bagaimana kita menonjolkannya dan memanfaatkannya untuk memberi kebaikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Anugerah berkenaan seiring dengan kejayaan figura itu yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan profesional sebagai anak seni dan usahawan, tetapi turut memberikan inspirasi kepada generasi masa depan.
Malam penghargaan AFFIN INVIKTA TOP50 Women of Excellence Awards 2025 berjaya meraikan 50 wanita luar biasa.
Kesemua 50 penerima anugerah terdiri daripada mereka yang sudah memberikan impak besar dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, sains, seni, sukan, tadbir urus, khidmat masyarakat dan pembangunan negara.
Anugerah anjuran TOP50 Media Synergy Sdn. Bhd. dengan kerjasama strategik eksklusif AFFIN INVIKTA (Affin Bank Berhad), serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform pengiktirafan wanita paling berprestij di negara ini.
Selain Siti, rakan selebriti yang turut menerima pengiktirafan ialah Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Sheila Majid dan Bella Astillah.

Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, menegaskan bahawa platform ini dibangunkan untuk memberikan pengiktirafan jangka panjang kepada wanita yang cemerlang.
“Malam ini bukan sekadar meraikan pencapaian tetapi legasi. Apabila wanita cemerlang, negara turut melangkah maju. Top50 bukan sekadar anugerah, tetapi sebuah gerakan,” katanya.
Inisiatif ini turut seiring dengan agenda AFFIN INVIKTA dalam memperkukuh kepimpinan wanita, keusahawanan, ketahanan kewangan dan mobiliti ekonomi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata AFFIN INVIKTA berbangga bersama wanita unggul Malaysia.
“Usaha ini mengukuhkan komitmen kami untuk memajukan kepimpinan, keusahawanan dan keterlihatan wanita di seluruh negara,” katanya.
Penganjuran ini turut menyokong Dasar Wanita Negara (DWN) serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030, seiring dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan inklusif wanita dalam semua sektor.
Sebagai kesinambungan, TOP50 Media Synergy bakal melancarkan Women of Excellence Legacy Series 2026, merangkumi forum kepimpinan suku tahunan dan Women Entrepreneurship Accelerator (WEA).
Agenda lain seperti program mentorship belia bersama penerima anugerah, inisiatif CSR berfokus pendidikan, kebajikan wanita dan pembangunan komuniti dan penganjuran tahunan berskala antarabangsa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

