WALAUPUN baru memuat naik versi demo, lagu terbaru berjudul Hati Yang Dikecewa nyanyian Phyrosh Elfadwah atau lebih dikenali sebagai Yosh, ternyata sudah menarik perhatian ramai.
Penerbit popular, Jaja Ishak, mendedahkan dia sendiri terkejut apabila demo yang dimuat naik di TikTok meraih lebih 500,000 tontonan dalam masa singkat.
“Sebenarnya lagu ini tercipta secara spontan. Pada masa yang sama, kami sedang menyiapkan lagu raya Dentam Dentum Raya nyanyian Hadie Elfardie, anak sulung Ina Naim, bersama Auddra dan Ammar Haikal.
“Semasa berbual dengan Ina, saya ada sebut sedang mencari penyanyi untuk Hati Yang Dikecewa dan secara spontan saya tawarkan kepada Yosh,” kata Jaja Ishak yang juga pemilik Jaja Ishak Channel (JIC).
Menurut Jaja, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa hanya seminggu sahaja.
Lagu ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi di semua platform penstriman digital, pada 5 Disember ini.
Selain itu, Jaja berkongsi pengalamannya bekerja dengan anak-anak Ina yang memberikannya keselesaan dan komitmen tinggi sepanjang proses rakaman.
“Saya tidak kisah bekerjasama dengan sesiapa pun, asalkan mereka memberikan kerjasama yang baik.
“Arwah Suhaimi Saad adalah rakan lama saya dan Ina pula banyak berkongsi waktu bersama.
“Jadi memang mudah untuk bekerja dengan mereka,” jelas Jaja.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia sengaja mencari jalan pintas untuk popular ke atas keluarga Ina, Jaja bagaimanapun menepis semua tohmahan itu
“Bidang belakang tabir ini sudah puluhan tahun saja ceburi. Saya yakin dan percaya dengan rezeki daripada Allah.
“Tak pernah ada istilah nak tumpang populariti keluarga Ina atau pun artis lain.
“Saya sudah bekerja dengan ramai selebriti. Malah, drama terbitan dan lagu saya juga sudah banyak kali tular.
“Jadi, tiada isu nak tumpang spotlight orang lain,” tegasnya.
Tambahnya, walaupun pada awalnya mereka ingin menawarkan lagu kepada Hadie, Yosh tampil lebih awal dan menunjukkan potensi besar untuk mencuri perhatian peminat muzik tempatan.
Dengan sambutan hangat terhadap demo ini, Hati Yang Dikecewa dijangka menjadi titik mula bagi Yosh meniti nama di persada muzik tanah air.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

