TIDAK semua pengarah memilih untuk membuka kisah hidup mereka kepada umum, namun keberanian itulah yang dilakukan pengarah muda, Bebbra Mailin menerusi filem sulungnya Ninavau.
Sebuah naskhah yang berani memaparkan isu pertukaran agama melalui kaca mata seorang mualaf.
Bukan sekadar karya, Ninavau lahir daripada pengalaman sebenar Bebbra sendiri yang memeluk agama Islam lima tahun lalu, sekali gus menjadikan naskhah ini antara filem tempatan paling jujur dalam mengangkat konflik identiti dan penerimaan keluarga.
Bebbra, yang dibesarkan dalam keluarga Kristian Katolik di Sabah, mengakui perjalanan menjadi mualaf bukan mudah.

Setiap perselisihan, kekeliruan dan emosi yang dipaparkan dalam filem ini pernah membaluti hidupnya.
“Saya memeluk Islam pada 2020. Apa saja konflik keluarga yang saya tonjolkan dalam filem ini, saya sudah laluinya terlebih dahulu,” katanya pada tayangan perdana baru-baru ini.
Menurutnya, isu pertukaran agama sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat Sabah, khususnya dalam komuniti Kadazan.
Namun, pengangkatannya ke layar perak jarang dilakukan secara terus terang.
“Apa yang saya mahu angkat ialah soal penerimaan keluarga dan toleransi masyarakat.
“Pilihan agama adalah hal peribadi, tetapi pertalian darah tetap tidak putus,” jelasnya.

Menariknya, Ninavau bermula sebagai sebuah filem pendek yang diinspirasikan daripada kisah seorang sahabat yang memeluk Islam.
Filem itu kemudian memenangi Filem Pendek Terbaik MIFFest 2019, sekali gus membuka pintu kepada versi filem cereka.

Ketika menyiapkan filem pendek itu, Bebbra masih beragama Kristian dan mengakui ketika itu dia adalah “watak” yang mempersoalkan pertukaran agama.
“Bezanya ketika mengarah filem cereka pada 2022, saya sudah menjadi mualaf.
“Jadi naratifnya berubah kerana saya kini faham kedua-dua sisi,” katanya.
Walaupun tidak mengandungi unsur seksual atau keganasan, Ninavau menerima klasifikasi P16.
Penerbitnya, Muzzamer Rahman, percaya penilaian itu mungkin disebabkan elemen agama dan beberapa babak yang berlangsung dalam gereja.

Tambahnya, produksi amat berhati-hati agar naskhah ini tidak mencetus salah faham.
“Kami sendiri tapis dulu sebelum hantar ke Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Ada satu babak yang kami buang, watak utama makan babi.
“Realitinya pelakon beragama Kristian, tetapi dalam filem dia watak wanita Islam. Untuk elak kontroversi, kami gugurkan saja,” jelasnya.
Memegang peranan utama sebagai Ninavau, pelakon asal Sabah, Jovenea Jim tidak mengambil mudah cabaran membawa karakter seorang mualaf.
“Saya Kristian, tapi demi watak ini saya belajar solat dan berwuduk.
“Islam bukan asing bagi saya kerana keluarga dan rakan saya juga ada yang mualaf,” katanya.

Namun Jovenea turut mengakui sudah bersedia berdepan kritikan daripada komuniti sendiri.
“Apa yang dipaparkan dalam filem ini memang berlaku di Sabah.
“Saya tahu risiko bawa watak ini dan saya sudah bersedia,” tambahnya.
Menemui penonton di pawagam bermula 4 Disember ini, Ninavau menampilkan barisan pelakon asal Sabah dan wajah senior antaranya Jovenea Jim sebagai Ninavau, Edward Sinsong sebagai Edward, Tati Eliana Tonny sebagai Elvira, Fatimah Abu Bakar dan Hasnol Rahmat
Filem ini diterbitkan oleh Le Mediator Studio dan Kristal Azmir.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

