SEORANG rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat sejak 27 November lalu masih belum ditemukan.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) yang terus memantau perkembangan semasa susulan kejadian bencana tersebut.
Menurutnya, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan bahawaAsrul Nizam telah dilaporkan hilang selepas terlibat dalam insiden tanah runtuh di Padang Panjang pada 27 November.
“Konsulat Jeneral sedang berkoordinasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat yang sedang berlangsung.
“Maklumat awal menunjukkan bahawa kenderaan yang dinaiki mangsa bersama tujuh warga Indonesia, dipercayai ahli keluarga, telah dihanyutkan oleh tanah runtuh tersebut.
“Empat daripada penumpang warga Indonesia itu telah dikesan, manakala usaha mencari rakyat Malaysia berkenaan serta tiga lagi warga Indonesia masih diteruskan,” jelasnya dalam kenyataan.
Wisma Putra menambah, ibu bapa mangsa kini berada di Padang, dan Konsulat Jeneral sedang menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga sepanjang tempoh mereka di sana.
Tiga pelancong Malaysia gagal dihubungi
Dalam perkembangan berasingan, Konsulat Jeneral turut menerima laporan orang awam mengenai tiga pelancong Malaysia yang gagal dihubungi sejak 27 November, dua lelaki dan seorang wanita, berusia antara 63 dan 64 tahun.
“Maklumat awal menunjukkan mereka dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara. Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa
tempatan untuk mengesan kedudukan mereka dan memberikan bantuan yang diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh dinasihatkan agar berwaspada pada setiap masa, ikuti perkembangan terkini, serta patuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

