PERBADANAN Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merancang untuk meminda tujuh akta utama di bawah bidang kuasa agensi itu tahun depan.
Pindaan tujuh akta itu bagi memastikan perlindungan harta intelek negara kekal relevan, berkesan dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff memaklumkan, langkah itu mengambil kira perkembangan global termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurut Yusnieza Syarmila, pindaan akta itu bertujuan menyelaraskan standard perlindungan, memperkuat penguatkuasaan dan meningkatkan mekanisme perlindungan harta intelek (IP) agar inovasi tempatan benar-benar terlindung dan dihormati di peringkat global.
“Langkah ini juga bertujuan menempatkan Malaysia sebagai hab inovasi yang diyakini pelabur sambil memastikan kepentingan pencipta, usahawan dan penggiat industri tempatan terus terpelihara,” katanya.
Tujuh akta tersebut meliputi Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002; Akta Cap Dagangan 2019; Akta Paten 1983; Akta Hak Cipta 1987; Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000; Akta Petunjuk Geografi 2022 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.
Terdahulu, Yusnieza Syarmila menyempurnakan majlis pelancaran promosi MyIPO @ LRT yang berlangsung di Stesen Transit Aliran Massa (LRT) Taman Jaya, Petaling Jaya.
Mengulas mengenai pelancaran tersebut, beliau memaklumkan, promosi MyIPO @ LRT melibatkan sebuah gerabak LRT yang ‘bertemakan’ MyIPO.
Beliau berkata, inisiatif strategik itu lahir daripada hasrat agensi itu untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek kepada masyarakat umum melalui pendekatan lebih kreatif dan mudah diakses.
Yusnieza Syarmila menjelaskan, kempen itu merupakan langkah strategik dalam memanfaatkan platform pengangkutan awam iaitu LRT sebagai medium komunikasi massa berimpak tinggi.
Baca artikel lain: MyIPO cadang daftarkan ikan celup tepung sebagai harta intelek Terengganu

“Sebagaimana tren LRT bertindak sebagai nadi penggerak yang menghubungkan jutaan rakyat setiap hari, menyokong aktiviti sosial dan ekonomi negara, demikianlah MyIPO menjadi tunjang utama yang menjamin perlindungan dan pembangunan ekosistem harta intelek negara.
“Pelancaran promosi MyIPO @ LRT adalah titik mula kepada usaha strategik memperkukuh budaya kesedaran harta intelek dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.
“Program ini membawa mesej penting iaitu pendaftaran harta intelek bukan lagi eksklusif tetapi adalah keperluan asas bagi setiap pencipta dan usahawan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Selain itu, MyIPO turut menganjurkan pertandingan Snap It Right yang merupakan sebuah pertandingan kreatif terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bermula hari ini sehingga 31 Disember, peserta hanya perlu mengambil gambar atau video yang paling kreatif bersama gerabak MyIPO sama ada di bahagian luar atau dalam tren dengan kapsyen menarik yang menyentuh tentang harta intelek.
“Muat naik di media sosial anda, tunjukkan kreativiti anda dan anda berpeluang memenangi pelbagai ganjaran termasuk hadiah utama bernilai RM1,000 dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM5,600.
“Pertandingan ini dirangka untuk meraikan bakat kreatif masyarakat sambil membuka ruang kepada orang ramai mengenali MyIPO dengan lebih dekat melalui penyertaan yang interaktif,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

