RATU Rock negara yang tidak pernah pudar auranya, Ella, kembali membuat kejutan apabila mengumumkan konsert mega terbaharunya, “Majlis Tertinggi Rockqueen”, yang bakal menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari 2026.
Lokasi ini bukan biasa-biasa, inilah pentas keramat yang pernah mencatat detik-detik penting dalam perjalanan seni Ella sepanjang karier hampir empat dekad!
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert ini dianggap antara projek terbesar mereka, sebagai penghormatan kepada legasi besar Ella dan penyatuan tenaga peminat, penggiat seni serta rakyat Malaysia.

Konsert kali ini bukan sekadar persembahan, tapi juga membawa mesej kemanusiaan melalui tema “Peace, Love & Rindu”, tiga nilai yang dekat dengan hati Ella.
Menurut Ella, nama Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar melambangkan gelaran “ratu rock”, tetapi satu gerakan kecil yang ingin meninggalkan impak.
“Saya akan mencecah usia 60 tahun pada 2026. Sudah tiba masa untuk saya memberi legasi lebih bermakna, terutama dalam aspek kemanusiaan.
“Majlis Tertinggi Rockqueen adalah gerakan untuk membawa ‘Peace, Love & Rindu’,” kata Ella.

Berbeza daripada konsert mega lain, Ella memilih konsep konsert rakyat, tiket mampu milik, tapi pengalaman tetap ‘premium’.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, berkata, konsert ini adalah cara pihaknya ‘give back to the people’.
“Harga tiket lebih rendah, tapi pengalaman tetap luar biasa. audio, visual, semuanya kelas pertama.
“Setiap pembelian tiket akan mewajibkan peminat mengundi tabung sumbangan pilihan antaranya Peace – Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Love – Yayasan Kebajikan Negara dan Rindu – Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
“Setiap undian akan disumbangkan RM2 kepada organisasi berkenaan,” jelasnya.

Kali terakhir Ella beraksi di stadium mega, pentas tersebut menjadi saksi sejarah beliau.
Kini, puluhan tahun kemudian, Ella kembali mengakui ia cabaran, tetapi cabaran yang menyemarakkan semangatnya.
Hampir 40 tahun bertahan dalam industri, Ella tidak pernah goyah. Semangat cintanya pada seni dan peminat menjadi nadi kekuatan yang membuatnya terus relevan dan terus dihormati.
Sambil tersenyum, Ella menitipkan harapan istimewa untuk generasi muda dan seluruh peminatnya.

“Saya cuma berharap konsert ini mampu membantu pertubuhan amal dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya mahu generasi muda terus berjaya, dan para seniman kita terus terbela.
“Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’ dan jumpa saya di Majlis Tertinggi Rockqueen!,” ungkapnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

