‘Saya akan buktikan tidak bersalah’, kata Shamsul Iskandar

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

“INSYA-ALLAH, saya akan buktikan saya tidak bersalah dan mengikut jalur hukum serta proses mahkamah.”

Itu kata bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas prosiding kes rasuah dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Shamsul Iskandar, beliau akan terus berusaha untuk membersihkan namanya menerusi proses undang-undang.

Pada masa sama, Shamsul Iskandar turut menghargai sokongan yang diberikan oleh peguam dan rakan-rakan yang turut hadir ke mahkamah.

“Saya ucap terima kasih kepada barisan peguam dan sahabat-sahabat yang hadir hari ini yang turut bersolidariti dan mendoakan.

“Sejak dari awal, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutama untuk menyelesaikan siasatan dan insya-Allah membersihkan nama.

“Saya minta kepada semua kawan-kawan untuk terus berdoa. Mudah-mudahan kebenaran akan dicapai,” katanya.

Sementara itu, peguam Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan, prosiding pada hari ini berjalan mengikut aturan ditetapkan dengan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu telah diberi ikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin.

Beliau berkata, anak guamnya pada setiap masa telah mengekalkan prinsip bahawa beliau tidak bersalah terhadap semua dakwaan.

Amer Hamzah turut percaya bahawa proses undang-undang akan berjalan sebaik-baiknya.

“Sejurus selepas berita dan tohmahan terhadapnya disebarkan, beliau telah membuat laporan polis ketika berada di Sabah untuk berkempen.

“Laporan itu dibuat bagi membersihkan namanya daripada tohmahan-tohmahan yang dilemparkan ke atas beliau dan PMX (Perdana Menteri).

“Beliau akan mempertahankan kesnya dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah dengan pendakwaan yang telah dilemparkan ke atasnya,” katanya.

Terdahulu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 bagi meluluskan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Pengakuan tidak bersalah Shamsul Iskandar, 51, itu dilakukan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Baca artikel lain: Albert Tei didakwa beri suapan hampir RM176,000 kepada Shamsul Iskandar

Mengikut kertas pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri bersetuju menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, pada 24 November 2023.

Beliau juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri iaitu wang tunai berjumlah RM40,000 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.

Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, Shamsul Iskandar didakwa memperoleh suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ismael Saibari jadi wira, Maghribi kecewakan Belanda langkah ke pusingan 16

MAGHRIBI meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Belanda 3-2 dalam penentuan sepakan penalti,...

More Articles Like This