BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 bagi meluluskan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Pengakuan tidak bersalah Shamsul Iskandar, 51, itu dilakukan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
“Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara,” katanya yang hadir ke mahkamah memakai baju batik berwarna hijau.
Beliau sebelum itu tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.05 pagi tadi diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengikut kertas pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri bersetuju menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, pada 24 November 2023.
Baca artikel lain: Shamsul Iskandar, Albert Tei tiba di mahkamah hadapi pertuduhan
Beliau juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri iaitu wang tunai berjumlah RM40,000 daripada individu sama dan sebagai dorongan yang sama.
Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, Shamsul Iskandar didakwa memperoleh suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.
Bagi keempat-empat tuduhan itu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

