MALAM Jumaat lalu, perginya wakil rakyat yang banyak mewarnai suasana Dewan Rakyat dengan celoteh bersahajanya.
Baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang, kedua-duanya dibantai jika ada yang tidak kena pada pandangannya.
Di sudut awam di pentas Parlimen, ramai melihatnya hanya berceloteh, mencelah, tegas di sebalik nada menyindir mahupun ketawa. Biarpun begitu, mereka yang rapat dengannya sahaja mengetahui siapa dirinya yang sebenar.
Banyak diceritakan orang mengenai keperibadian Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, selepas pemergian Allahyarham.
Ada yang memberitahu, Allahyarham banyak menghulurkan bantuan itu, bantuan ini. Ada yang buka cerita, pernah mengalami kesempitan kewangan untuk meneruskan pengajian.
Ceritanya: “Aku kebetulan terserempak di KLIA masa dia nak ‘fly’ balik Sabah. Masa tu aku tak cukup duit nak bayar yuran semester akhir. Aku tebalkan muka ‘approach’ dia, minta sikit duit tambah bayar yuran pengajian. Dia bagi on the spot (terus), siap pesan belajar baik-baik. Dia bagi nombor telefon dia. Alhamdulillah aku grad PhD (ijazah Doktor Falsafah) aku”.
Di sisi ahli keluarganya turut berkongsi cerita bagaimana berbezanya ‘watak’ Allahyarham ketika di Parlimen dan di rumah.
Semua cerita-cerita baik ini timbul ketika tiada siapa yang pernah membukanya sepanjang arwah masih dikandung hayat.
Hormati satu sama lain
Namun di sudut lain, ada watak-watak yang bertindak sebaliknya. Ketika jasadnya masih terbaring di hospital, ketika jasadnya masih bertarung nyawa, ada yang menulis di lembaran media sosial yang tidak elok.
Begitu juga ketika jasadnya dikebumikan, dan sehingga kini, ada yang seolah-olah tidak tahu adab dan kemanusiaan untuk menghormati pemergiannya.
Sejak di bangku sekolah lagi, kita diajar supaya menghormati antara satu sama yang lain, baik ketika hidupnya mahupun ketika mengetahui kematiannya.
Tetapi hati saya sangat kecewa apabila ada yang mencemuh kematiannya seakan-akan dialah sahaja yang layak untuk ke syurga Allah SWT.
Mengapa ya ada masyarakat kita yang bersikap sedemikian? Sedangkan mereka tahu jalan hidup ini semuanya ketentuan Allah, bukan kita yang sepatutnya saling menghakimi.
Beberapa pemimpin yang menemui ajal sebelum ini juga menjadi ruang untuk dicemuh oleh musuh-musuh politik atau mereka yang tidak sealiran pandangan.
Kata-kata menyindir keluar dan ditulis di ruangan komen tanpa ada rasa ‘malu’ untuk berbuat dosa. Inilah masyarakat kita yang miskin adab, miskin nilai-nilai kemanusiaan.
Bukankah elok sekiranya kita mendoakan yang baik-baik untuk sesiapa sahaja yang telah pergi. Tak kira sesiapa pun, yang pernah kita kenali watak dan peranannya mahupun tidak.
Saya hilang kata-kata membaca komen-komen negatif terhadap pemergian seseorang. Manusia ‘terpaling’ syurga ini ada di mana-mana.
Terdahulu, saya dan UtusanTV mengucapkan salam takziah kepada seluruh kaum keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di sini hambaNYA yang dikasihi.
Kita juga pasti akan pergi suatu hari nanti.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

