PENGANJUR sebuah program bertajuk ‘Glamping With Pride’ dinasihatkan supaya membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.
Nasihat itu dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menerusi perkongsian Tinta Mufti yang disiarkan di media sosial, hari ini.
Menurut Ahmad Fauwaz, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen-elemen songsang itu jelas dilarang walaupun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping.
Beliau berkata, ia kerana penganjuran program itu adalah satu bentuk promosi perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka lebih-lebih lagi di Malaysia yang meletakkan Islam pada kedudukan istimewa.
“Dalam konteks sebuah negara berdaulat, setiap penganjuran program mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan.

“Pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlulah lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya yang bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
“Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan akidah dan akhlak anak muda kita.
“Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Baca artikel lain: Acara tular pamer golongan ‘songsang’ tiada kaitan dengan MOTAC, Tourism Malaysia
Individu, golongan terlibat perlu dikenakan tindakan tegas
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz menegaskan setiap individu dan golongan yang terlibat dalam program maksiat seperti itu perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman berat yang setimpal dengan kejelekan maksiat dilakukan itu.
Namun begitu, katanya, sekiranya ada dalam kalangan individu tersebut ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan mereka, pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah.
“Oleh itu, berbanding penganjuran program sedemikian, umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai pencipta alam semesta.
“Selain itu, aktiviti tersebut juga perlulah berupaya mengeratkan ukhwah yang sihat dengan membina hubungan kemasyarakatan yang bersih daripada sebarang unsur maksiat sekali gus berfungsi sebagai wadah untuk memelihara jati diri serta menjadi benteng ampuh daripada pengaruh budaya luar yang merosakkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan program ‘Glamping With Pride’ yang berlangsung di Hulu Langat pada hujung minggu depan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Program itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu program retret berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

