Neo Asset mahu bangunkan 300 ekar ladang durian, sasar nilai eksport cecah RM100 juta

Dari Penulis

Syarikat Neo Asset Sdn Bhd syarikat mensasarkan pembangunan sehingga 300 ekar ladang durian dalam tempoh lima tahun sebagai asas kepada pembinaan ekosistem agribisnes bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutif Neo Asset, Aswad Ibrahim berkata, ia menandakan satu fasa strategik baharu dalam industri agribisnes Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain berpotensi tinggi dalam rantaian nilai durian premium berorientasikan pasaran global.

“Ekosistem ini merangkumi pengurusan ladang moden, pematuhan piawaian kualiti eksport, pemprosesan nilai tambah serta akses pasaran antarabangsa.

“Pendekatan kami bukan hanya menanam durian, tetapi membina satu platform aset pertanian strategik yang mempunyai potensi penilaian tinggi dan daya saing global,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Ladang Neo Durian yang berlangsung di Raub, Pahang baru-baru ini.

Jelas beliau, selari dengan pelaksanaan pelan ini, Neo Asset meletakkan sasaran nilai eksport mencecah RM100 juta dalam fasa pertumbuhan akan datang.

Ujar beliau, ia didorong oleh peningkatan permintaan antarabangsa terhadap durian premium Malaysia, khususnya dari pasaran berimpak tinggi seperti China, Hong Kong, Singapura dan negara-negara Asia Timur.

“Pada masa ini, syarikat sedang meneroka dan memuktamadkan beberapa kerjasama strategik dan usahasama antarabangsa bagi memperkukuh akses pasaran, rantaian bekalan serta kecekapan operasi.

“Langkah ini dijangka mempercepatkan pertumbuhan hasil, selain meningkatkan daya tarikan syarikat dalam kalangan pelabur institusi dan rakan strategik,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Neo Asset Sdn. Bhd. kini membuka peluang kerjasama strategik kepada pelabur, institusi kewangan, rakan niaga dan pihak berkepentingan untuk bersama-sama menyertai pembangunan projek berskala besar ini.

“Dalam landskap global, durian Malaysia kini semakin diiktiraf sebagai antara komoditi pertanian bernilai tinggi di rantau Asia.

“Neo Asset melihat trend ini sebagai gelombang ekonomi baharu yang mampu mencipta pulangan jangka panjang, di samping mengangkat Malaysia sebagai hab utama industri durian premium dunia,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan pelancaran Ladang Neo Durian, ia sekali gus mengesahkan komitmen Neo Asset Sdn. Bhd. dalam mentransformasikan sektor agribisnes daripada aktiviti tradisional kepada kelas aset pelaburan strategik bertaraf institusi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

JustMarkets perkukuh kedudukan global, senaraikan saham SpaceX di platform dagang

SEJAJAR dengan perkembangan pesat dan revolusi ekonomi angkasa lepas, firma pembrokeran antarabangsa terkemuka, JustMarkets, melakar sejarah tersendiri apabila mengumumkan...

More Articles Like This