SIAPA sangka, sebuah kilang kecil yang mula bertapak pada 2019 kini telah bertukar menjadi empayar perabot yang digeruni.
Ella Furniture, jenama yang sinonim dengan kemewahan mampu milik, kini mengukuhkan dominasinya dalam industri automotif tempatan dengan sasaran jualan luar biasa mencecah RM40 juta bagi tahun ini.

Diterajui oleh usahawan berwawasan, Nur Laila Alway, Ella Furniture berjaya memecah tembok monopoli industri perabot yang selama ini didominasi pihak lain, sekali gus membuktikan jenama tempatan mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan produk import.
Kejayaan tersebut bukan sekadar pada harga, tetapi pada ketahanan setiap inci produknya.

Menggunakan material kayu meranti yang terkenal dengan ketahanan lasak, serta fabrik moden yang tahan calar dan mudah dibersihkan, jenama ini menawarkan solusi bagi gaya hidup pasca-pandemik yang mementingkan keselesaan rumah.
Satu perkara yang menjadi bualan industri adalah keberanian mereka menawarkan jaminan selama lima tahun, satu tempoh yang jarang berani dijanjikan oleh jenama perabot dalam segmen harga yang sama.
“Kami menawarkan jaminan lima tahun di mana ia sesuatu yang jarang ditawarkan oleh jenama lain dalam segmen harga serupa,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan syarikat, Nur Laila mengakui cabaran besar yang dihadapi sebagai usahawan Bumiputera dalam industri berskala besar ini.
Namun, strategi pemasaran digital yang bijak dan model perniagaan “terus dari kilang” menjadi kunci utama mereka mampu menawarkan harga kompetitif tanpa mengorbankan kualiti premium.
“Bukan mudah juga bagi golongan bumiputera menembusi pasaran industri yang dipelopori bangsa lain, namun dengan tekad dan kesungguhan, Alhamdulillah kini kami sudah mempunyai 5 cawangan.

“Insya-Allah kami berhasrat mengembangkan lagi empayar ini dan membuka lagi beberapa cawangan di lokasi terpilih,” tambahnya lagi.
Kini, perniagaan itu megah berdiri dengan cawangan di lokasi strategik seperti Shah Alam, Bukit Jelutong, Johor Bahru, Kota Bharu, dan Sungai Petani.
Reputasi Ella Furniture semakin melonjak apabila mendapat pengiktirafan daripada personaliti televisyen terkenal, Datuk AC Mizal.
Bermula sebagai pelanggan yang ingin membaik pulih sofa, dia akhirnya jatuh hati dengan kualiti produk tersebut sehingga dilantik menjadi duta sejak 2022.

“Saya bermula dengan menghubungi Ella Furniture untuk membaik pulih sofa dan seterusnya pihak mereka bermurah hati menaja set sofa.
“Saya dapat merasai kualiti produk tempatan lebih-lebih lagi jenama ini diusahakan oleh bumiputera sendiri, sehinggalah saya ditawarkan menjadi duta dan membantu mempromosikan jenama ini,” ujarnya.

Dengan gabungan reka bentuk moden, pemasaran digital yang agresif termasuk tajaan program TV popular seperti Impiana: Makeover Ruang Selebriti, Ella Furniture kini bukan sekadar jenama perabot, tetapi satu inspirasi usahawan tempatan.
Melangkah ke hadapan, mereka komited untuk terus membawa transformasi hiasan dalaman ke setiap kediaman rakyat Malaysia dengan standard premium yang mampu dimiliki semua.
Layari ellafurniture.com.my untuk maklumat lanjut.

