MALAYSIA memandang serius dan menolak sebarang cadangan, usaha serta perbincangan yang melibatkan pemindahan paksa atau penempatan semua rakyat Palestin, sama ada ke Somaliland atau ke mana-mana wilayah di luar tanah air mereka.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, Malaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menegaskan sokongannya terhadap pendirian pertubuhan itu dan sekumpulan besar negara baru-baru ini dalam menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah yang digelar ‘Somaliland’.
“Kerajaan dengan tegas menentang sebarang usaha untuk menggunakan wilayah tersebut, atau mana-mana wilayah lain, sebagai destinasi pemindahan atau penyingkiran paksa rakyat Palestin dari Gaza,” jelasnya di Dewan Rakyat.
Wisma Putra menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pendirian tegas Malaysia terhadap sebarang usaha pemindahan paksa rakyat Palestin.
Kementerian itu menambah, tindakan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, serta akan menambahkan ketidakadilan dan menjejaskan keamanan.
Malaysia jelasnya, menolak semua tindakan yang melemahkan sistem undang-undang antarabangsa.
Dari segi tindakan diplomatik katanya, Kerajaan Malaysia konsisten menyuarakan bantahan secara tegas di semua platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC, ASEAN dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) terhadap sebarang cadangan pemindahan paksa rakyat Palestin.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan negara-negara OIC dan rakan sehaluan bagi membentuk pendirian kolektif untuk menolak agenda tersebut serta mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa penyelesaian sebenar konflik Israel-Palestin tidak terletak pada pemindahan rakyat Palestin, sebaliknya melalui penamatan penjajahan dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan
Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
Wisma Putra memberitahu, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang usaha yang bertujuan menghapuskan hak mereka terhadap tanah air sendiri.

