KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM5,244,369.19 bagi menyelenggara jalan di sekitar Putrajaya pada 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding pada 2024 (RM4,494,932.78) dan 2023 (RM4,901,301.93).
Katanya, kerja penyelenggaraan rutin di Putrajaya melibatkan pembaikan permukaan jalan, garisan tanda jalan, bebendul jalan, papan tanda, penghadang jalan serta komponen-komponen jalan yang berkaitan.
“Selain itu, peruntukan khas tambahan juga digunakan untuk pembaikan jalan dimana pada 2023 sebanyak RM1,998,846 digunakan untuk kerja penurapan jalan-jalan susur utama di Putrajaya.
“Manakala pada 2025, sebanyak RM1,649,658.00 digunakan untuk penurapan jalan-jalan perumahan di Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Hannah menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai jumlah peruntukan yang digunakan untuk menyelenggara jalan di sekitar
Putrajaya bagi 2023, 2024 dan 2025 serta tindakan kerajaan untuk memastikan pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya yang berkualiti
bagi menjamin ketahanan dan menjimatkan kos jangka panjang.
Hannah menambah, dari segi ketahanan jalan jangka panjang, Perbadanan Putrajaya akan meneroka penggunaan teknologi baru iaitu teknologi turapan
khas seperti Stone Mastic Asphalt (SMA) untuk meningkatkan tahap ketahanan jalan dalam jangka masa panjang.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

