SEORANG lelaki cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan ‘mat motor’ dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu, Melaka, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial sejak pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku selepas mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa ditegur oleh seorang lelaki.
Menurut Dzulkhairi, suspek dipercayai telah menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap mangsa berusia 24 tahun itu dengan menuduh mangsa menjadi punca adik suspek ditahan polis akibat kes kecurian motosikal.
Beliau berkata, suspek bersama rakan-rakannya kemudiannya didakwa telah bertindak mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar.
“Mangsa dilaporkan dipukul pada bahu kanan menggunakan topi keledar.
“Rakan-rakan suspek juga didakwa turut mengejar dan menghayun topi keledar ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, suspek juga dipercayai telah memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan.
Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Melaka namun sudah dibenarkan pulang.
Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang tangkapan, namun polis kenal pasti lima individu berusia 20 hingga 30-an dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.
Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, satu video tular memaparkan aksi sekumpulan ‘mat motor’ bergaduh dan memukul seorang individu dengan menggunakan topi keledar.
Menerusi satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat, memaparkan seorang individu dihentak menggunakan topi keleder beberapa kali sebelum dilihat terbaring tidak sedarkan diri.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

