PENGUMUMAN dividen Tabung Haji (TH) yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan institusi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembaharuan itu juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH.
Kata beliau, ia selaras dengan semangat asal penubuhan TH yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
“Alhamdulillah, pengumuman dividen TH hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau, hari ini.
TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keseluruhan agihan keuntungan berjumlah RM3.22 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.
Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat pada kadar 2.577 peratus (RM95.3 juta).

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

