MAJIKAN sektor swasta diseru untuk mempertimbang pelaksanaan aturan kerja fleksibel (AKF) yang mampu memberi manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan aturan kerja fleksibel itu dilihat sebagai satu pendekatan strategik yang mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi secara lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti.
Menurut KESUMA, ia juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan sektor swasta untuk melaksanakan peraturan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR).
Katanya, ia sebagai langkah menghadapi cabaran krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi dunia semasa.
KESUMA berpandangan, langkah tersebut mampu mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kesejahteraan pekerja apatah lagi dalam keadaan peningkatan kos tenaga akibat konflik di rantau Asia Barat dan kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja.
“Majikan sektor swasta digalakkan untuk menilai kesesuaian pelaksanaan aturan kerja fleksibel di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid.
“Selaras dengan langkah ini, majikan diseru untuk mempertimbang pelaksanaan AKF yang diperkenalkan di bawah pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.
“Di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q Akta 265, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KESUMA memaklumkan, peruntukan baharu itu membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (BDR).
Bagi menjamin kebajikan pekerja, KESUMA menegaskan, majikan yang telah melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah-faedah yang telah diperuntukkan di bawah akta tersebut.
“Ia termasuk bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am dan cuti sakit.
“Bagi menyokong pelaksanaan ini, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

