PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera kerajaan termasuk 80,000 penjawat awam yang turun membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Beliau berkata kerjasama padu antara seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, merupakan satu petanda yang sangat positif dalam menghadapi malapetaka.
Malah, beliau turut memuji penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICS), syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk puluhan ribu sukarelawan yang telah turun membantu.
Perdana Menteri berkata penyelarasan banjir oleh Majlis Keselamatan Negara (NADMA) pada kali ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga sangat memuaskan.
“Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil-wakil daerah dan ini menyebabkan langkah-langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan-rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan,” kata beliau.
Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lapan negeri terjejas menurun kepada 94,636 orang berbanding 99,823 orang malam tadi, manakala angka kematian akibat banjir yang telah dilaporkan kekal pada tujuh orang.
— BERNAMA

