SEORANG pembantu juruteknik meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Bukit Katil, Melaka, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Arif Mohamed Rabei, 38, dilaporkan rebah secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri kira-kira pukul 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.35 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang makan di restoran tersebut.
Menurut Christopher, mangsa kemudiannya bangun dari tempat duduk sebelum tiba-tiba rebah.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Orang awam yang berada di lokasi segera menghubungi ambulans.
“Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Melaka yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, adik mangsa memberitahu bahawa mangsa ada mengadu sakit perut, Rabu lalu.
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan tidak mempunyai sejarah penyakit serius.
“Mangsa juga didapati tidak bekerja pada hari kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

