UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu penempatan kuil tidak sah di atas sebahagian tanah milik universiti awam itu.
UKM dalam kenyataan memaklumkan, maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor itu penting sebelum sebarang langkah selanjutnya dapat dilaksanakan.
Sebelum ini, UKM memberitahu, satu sesi perbincangan telah diadakan antara pihak pengurusan bersama Kerajaan Negeri Selangor mengenai isu tersebut.
Hasil perbincangan itu, universiti berkenaan memberitahu, keputusan telah diambil untuk membawa isu tersebut ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor.
“UKM mengambil maklum terhadap keprihatinan masyarakat dan telah mengambil langkah sewajarnya berkenaan isu tular mengenai pembinaan kuil di kawasan UKM.
“Sebarang tindakan perlu melalui prosedur yang ditetapkan serta melibatkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri Selangor.
“Ia bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh, berhemah dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, UKM berharap itu tersebut dapat diselesaikan dengan tuntas memandangkan perkara itu memerlukan pendekatan yang berhati-hati serta berperingkat tanpa mengambil tindakan yang agresif atau tergesa-tergesa.
“UKM akan terus memantau perkembangan serta bergantung kepada tindakan pihak berkuasa yang berkenaan untuk langkah seterusnya.
“UKM menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan sesama komuniti.
“Keprihatinan masyarakat berkenaan isu ini amatlah dihargai oleh pihak UKM,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan sebuah kuil dikatakan tidak sah dibina di atas sebahagian tanah milik UKM.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

