DALAM usaha memperkukuh literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sekumpulan penyelidik dari Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi inisiatif The Media Initiative (TMI) telah menganjurkan Bengkel Ujian Penerimaan Pengguna untuk menilai keberkesanan modul rintis bagi program Artificial Intelligence Literacy Empowerment Workshop (AiYOH).
Program AiYOH merupakan salah satu teras utama inisiatif TMI yang menyasarkan peningkatan celik digital dan kemahiran AI dalam kalangan generasi muda di institusi pengajian tinggi.
Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan dengan kaedah penggunaan perisian berasaskan AI secara efektif, kritikal, dan beretika dengan pendekatan gabungan teori dan praktikal.
Menurut Ketua Penyelidik TMI, Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh, bengkel ini adalah fasa awal penting untuk menilai kelancaran dan kesesuaian modul sebelum ia digunakan secara rasmi dalam bengkel berskala besar.

“Ujian penerimaan pengguna ini penting bagi menguji kelancaran penyampaian kandungan, kefahaman peserta terhadap konsep AI dan mendapatkan kritikan membina sebelum modul ini diguna pakai dalam bengkel sebenar yang bakal dilaksanakan secara meluas,” katanya.
Tambah beliau, maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan membantu pasukan penyelidik mengenal pasti aspek yang boleh ditambah baik.
Salah seorang peserta, Dr. Daniella Maryam Mohamed Mokhtar menyifatkan pengenalan teknologi AI melalui AiYOH sebagai sangat relevan terutamanya dalam konteks penyelidikan dan pendidikan tinggi
“Sesi praktikal dan hands-on membuka mata saya mengenai potensi AI untuk mempercepatkan kerja-kerja penyelidikan, penyediaan laporan serta menambah baik bahan pengajaran dan pembelajaran.

“Saya percaya lebih ramai ahli akademik perlu didedahkan dengan modul seperti ini,” ujarnya.
Modul ini juga menekankan aspek etika penggunaan teknologi AI, termasuk isu plagiarisme, penyebaran maklumat palsu dan implikasi penggunaan AI tanpa kawalan bagi melahirkan pengguna teknologi yang bukan sahaja celik AI tetapi juga berintegriti.
Menariknya, bengkel ini turut disertai peserta dari luar UKM termasuk pensyarah dan pelajar pascasiswazah daripada pelbagai institusi yang dijemput khas untuk memberikan maklum balas terhadap modul.
Program AiYOH juga mendapat sokongan penuh daripada Google News Initiative (GNI) selaku penaja utama, satu pengiktirafan terhadap usaha institusi pengajian tinggi tempatan dalam memperkukuh literasi digital dan AI.
TMI memaklumkan bahawa siri bengkel AiYOH secara rasmi akan bermula pada Oktober depan dan bakal menjelajah ke beberapa IPT terpilih di seluruh negara.
Semua bengkel akan dianjurkan secara percuma bagi memastikan akses yang inklusif kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
Pihak TMI juga mengalu-alukan kerjasama dan penyertaan daripada pensyarah, penyelidik serta fasilitator dari pelbagai IPT sebagai jurulatih atau penyumbang modul seiring dengan visi kolaboratif yang menekankan sinergi antara akademik dan industri.
“Kami percaya pendekatan kolaboratif antara universiti, industri dan pelajar mampu melahirkan generasi celik AI yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tambah Sabariah.
Individu atau institusi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai program AiYOH boleh melayari laman rasmi The Media Initiative (TMI) atau menghubungi sekretariat program melalui emel: [email protected].

