TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh menegaskan penyelesaian isu Taman Rimba Kiara selepas 44 tahun membuktikan bahawa kuasa yang diberikan kepada pemimpin yang berintegriti mampu menyelesaikan masalah rakyat yang sekian lama tertangguh.
Menurut beliau, rakyat perlu menilai dengan teliti kepada siapa kuasa diserahkan kerana pilihan kepimpinan yang tepat boleh membawa penyelesaian kepada masalah yang berlarutan, manakala keputusan yang salah hanya akan menyebabkan kepentingan rakyat terus terabai.
“Kuasa itu penting tetapi kuasa yang berada di tangan yang bersih boleh menyelesaikan masalah.
“Sebab itu rakyat perlu berhati-hati apabila memilih kepada siapa kuasa itu diserahkan. Apabila kita memilih pemimpin yang betul, masalah yang berlarutan boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, isu Taman Rimba Kiara menjadi contoh bagaimana keputusan politik dan pentadbiran mampu menentukan masa depan rakyat serta kelangsungan kawasan hijau di ibu negara.
“Apabila kita memilih pemimpin yang salah, taman boleh hilang dan rakyat terus menunggu tanpa kepastian,” katanya.
Hannah berkata, penyelesaian yang dicapai hari ini membolehkan Taman Rimba Kiara terus dipelihara selain memberikan kepastian kepada penduduk rumah panjang yang menunggu penyelesaian selama puluhan tahun.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Katanya, setiap keluarga yang layak bakal memiliki dua unit rumah, sekali gus menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
“Hari ini kita bersyukur kerana Taman Rimba Kiara dapat dipelihara. Kita bersyukur kerana penduduk rumah panjang akhirnya mendapat kepastian tentang masa depan mereka.
“Kita bersyukur kerana setiap keluarga yang layak bakal memiliki dua unit rumah yang akan memberi manfaat kepada generasi mereka pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, penyelesaian yang dicapai itu bukan lagi sekadar janji politik, sebaliknya menandakan bermulanya pelaksanaan sebenar selepas 44 tahun penantian.
“Selepas 44 tahun menunggu, hari ini kita bukan lagi bercakap tentang janji. Hari ini kita bercakap tentang pelaksanaan. Hari ini kita melihat penyelesaian sebenar bermula,” katanya.
Beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai detik bersejarah yang membuktikan masalah yang berlarutan selama beberapa dekad masih boleh diselesaikan apabila wujud kemahuan politik serta komitmen untuk mengutamakan kepentingan rakyat.
“Segala puji dan syukur kepada Tuhan kerana mengizinkan kita menyaksikan detik bersejarah ini. Selepas 44 tahun, sebuah penyelesaian akhirnya dapat direalisasikan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

