PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif MADANI Mart yang membuka cawangan pertama di Indera Mahkota akan diperluaskan di seluruh negara.
“Meluncurkan MADANI Mart yang pertama di Indera Mahkota sebentar tadi. Insiatif Yayasan MADANI ini adalah usaha jangka pendek dan panjang dalam merungkai krisis bekalan dan harga barang.
“Insya-Allah, ia bakal diperluas ke seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Anwar hari ini merasmikan MADANI Mart Cawangan Indera Mahkota 8, inisiatif berkonsep kedai komuniti pertama di negara ini yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai rakyat berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
Daya usaha itu yang diterajui Yayasan MADANI adalah antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa melawat kedai runcit berkenaan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Terdahulu, Fuziah dalam ucapannya, berkata MADANI Mart bukan sekadar pelengkap, tetapi langkah seterusnya untuk memastikan manfaat harga rahmah dapat dirasai secara lebih konsisten, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Pada masa sama, katanya, inisiatif itu juga memperluas peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih tersusun.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

