DUA tiga hari kebelakangan ini akaun media sosial penulis menyajikan paparan tentang kejayaan cemerlang adik-adik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025.
Paling terkesan sudah pasti kejayaan anak kepada penjual pisang goreng yang memperoleh 11 A+ dan dikhabarkan bakal diterbangkan ke Jordan bagi melanjutkan pelajaran melalui pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan ini dan didoakan terus maju pada masa hadapan.
Bagi yang kurang berjaya atau gagal, ia bukanlah penamat bagi segala-galanya. Peluang masih terbuka luas asalnya terus bersemangat untuk berusaha laluan untuk menuju kejayaan itu pasti ada.
Teringat pesan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak anak-anak lepasan SPM untuk mengambil jurusan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagi menyakinkan mereka, Ahmad Zahid menegaskan bahawa TVET merupakan pilihan tepat kerana ia dekat dengan dunia dunia pekerjaan yang penuh dengan persaingan pada ketika ini.
Sejak memegang peranan sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, jurusan tersebut sudah banyak mengalami perubahan dan penambahbaikan sesuai dengan kehendak pasaran serta perubahan semasa.
Malah Ahmad Zahid pernah mendedahkan kadar bekerja dalam kalangan graduan TVET direkodkan pada paras melebihi 95 peratus pada tahun 2024.
Kadar berkenaan membabitkan bidang kejuruteraan; pembuatan dan pembinaan; teknologi maklumat dan komunikasi; perniagaan, pentadbiran dan perundangan; sastera dan kemanusiaan serta perkhidmatan.
Malah Ahmad Zahid pernah memberitahu gaji lepasan TVET juga jauh lebih tinggi berbanding lepasan SPM dan Kerajaan MADANI melihat aliran pendidikan berkenaan sebagai pelaburan masa depan negara.
Untuk adik-adik yang keputusannya tidak begitu baik, ayuh bulatkan tekad, perjuangan masih belum berakhir dan gunakan peluang sedia ada untuk mengapai impian demi diri serta keluarga tercinta.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

