JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat serta piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sebarang ketidakpatuhan, khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah merupakan satu pelanggaran serius.
Jelasnya beliau, tindakan tersebut tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta.
“Sehubungan dengan itu, Jakim akan terus menggembeleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat dalam memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
“Tindakan bersepadu akan terus diambil bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara, kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menarik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) susulan penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi di kilang kopi dan kilang biskut di negeri tersebut.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, pihak syarikat yang terlibat telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia.
Selain, menarik balik semua produk yang terkesan dari pasaran serta melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara menyeluruh termasuk proses serta mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

