KRISIS ekonomi Asia 1997–1998 telah memberi kesan besar kepada Malaysia dengan kejatuhan nilai ringgit, hutang luar meningkat, dan rizab asing yang merosot.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menolak tawaran bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana syaratnya dianggap membebankan dan berpotensi menjejaskan kedaulatan ekonomi negara.
Sebagai langkah alternatif, kerajaan memperkenalkan kawalan modal pada September 1998, termasuk menambat ringgit kepada dolar AS pada kadar RM3.80 bagi menstabilkan mata wang.
Bank Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam mengawal sistem kewangan, dengan pelantikan Tan Sri Ali Abul Hassan sebagai gabenor dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai timbalan gabenor untuk memulihkan keyakinan pasaran.
Kerajaan turut melaksanakan dasar fiskal yang lebih ketat, mengurangkan perbelanjaan awam, dan menstruktur semula hutang syarikat bagi memastikan kelangsungan ekonomi domestik.
Antara inisiatif paling berbekas ialah kempen membeli barangan tempatan, yang digerakkan untuk menyokong industri kecil dan sederhana serta mengurangkan kebergantungan kepada import.
Kempen ini bukan sahaja membantu mengekalkan pekerjaan rakyat Malaysia, tetapi juga membina semangat patriotisme ekonomi yang menggalakkan masyarakat menyokong produk buatan negara.
Hasil daripada langkah-langkah ini, Malaysia menjadi antara negara terawal di Asia yang kembali pulih daripada krisis, dengan pertumbuhan ekonomi mula stabil menjelang tahun 1999.
Dan ketika ini, Malaysia sekali lagi berdepan ‘ribut’ yang hampir sama iaitu konflik di Asia Barat serta gangguan terhadap laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz, yang telah meningkatkan risiko kepada kestabilan bekalan tenaga dunia.
Keadaan ini memberi tekanan kepada harga minyak global yang berpotensi meningkat secara mendadak dan seterusnya memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan, kos pengeluaran dan harga barangan dalam negara.
Dalam konteks ini, Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berpandangan, usaha memperkukuh ekonomi domestik mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan luaran.
Katanya, pendekatan itu juga berpotensi membantu mengurangkan tekanan imported inflation, walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dalam jangka pendek.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, sokongan terhadap barangan tempatan perlu bersifat bersyarat dan realistik.
“Produk tempatan hendaklah kompetitif dari segi harga dan kualiti agar tidak membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat tekanan inflasi global, keutamaan pengguna kekal tertumpu kepada nilai untuk wang, bukan semata-mata sentimen,” katanya.
Mengulas lanjut, Nuradli Ridzwan Shah berkata, dari sudut dasar, usaha itu memerlukan intervensi yang lebih menyeluruh.
Jelas beliau, peningkatan harga minyak global akan memberi kesan langsung kepada kos logistik dan rantaian bekalan.
Justeru, kata beliau, kerajaan perlu memperkukuh langkah mengurangkan kos pengeluaran, menyediakan insentif bersasar serta memastikan kecekapan sistem pengedaran bagi mengekang tekanan harga.
“Secara keseluruhannya, pendekatan memperkukuh ekonomi domestik melalui barangan tempatan adalah langkah yang tepat dalam mendepani ketidaktentuan global.
“Namun, pelaksanaannya perlu bersifat menyeluruh, seimbang dan berfokus kepada kesejahteraan pengguna, khususnya dalam suasana tekanan kos yang dipacu oleh faktor geopolitik dan harga tenaga dunia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

