Di sebuah tanah perkuburan yang sunyi, pernah terdengar satu kisah dulu, tentang sebuah kubur yang menjadi tumpuan dan diziarahi oleh haiwan-haiwan jinak.
Pada awalnya, ia hanya dianggap sebagai cerita biasa yang disampaikan dari mulut ke mulut.
Dan sejak hari itu… kisah tentang kubur tersebut terus menjadi bualan, walaupun tiada siapa yang benar-benar mampu memastikan apa yang sebenarnya berlaku di situ.
Dalam kepercayaan masyarakat, apabila alam mula ‘mendekat’, pasti ada sesuatu yang sedang berlaku.
Sesuatu yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Namun persoalannya… Adakah kehadiran haiwan-haiwan itu benar-benar datang membawa isyarat?
Atau sebenarnya… manusia yang terlalu cepat mencipta makna pada setiap yang luar biasa?
Di sebalik kisah yang kelihatan luar biasa ini, seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh popular, Ustaz Healing Shahrin tampil memberikan penjelasan.
Bukan untuk menafikan emosi, tetapi untuk meluruskan kefahaman.
“Dalam Islam, kita kena faham satu perkara asas. Setiap amalan manusia itu akan dibalas oleh Allah SWT. Bukan makhluk yang membalasnya,” jelas pemilik nama sebenar Shahrin Abd. Rahman.

Menurut beliau, ramai yang terperangkap apabila melihat sesuatu yang luar biasa, lalu terus mengaitkannya dengan kedudukan seseorang di sisi Allah.
“Itu bermaksud, kebaikan seseorang itu memang dinilai tinggi oleh Allah. Walaupun kecil, tetap ada ganjarannya.
Bukan Jaminan Syurga
Hakikatnya, Islam telah lama meletakkan garis yang jelas.Dalam Surah Al-Zalzalah ayat 7, Allah SWT menegaskan, sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, pasti akan melihat balasannya.
“Tetapi kita jangan silap faham… tanda-tanda di dunia bukan bukti ganjaran tersebut.
“Tanda-tanda ini juga bukan jaminan seseorang itu ahli syurga atau wali, namun kita mesti bersangka baik dan sentiasa mendoakan orang yang meninggal dunia.”
Kata-kata itu seolah-olah mematahkan kepercayaan yang sedang terbina.Kerana realitinya… manusia sering mencari ‘tanda’ untuk menenangkan hati.
Sedangkan tidak semua yang kelihatan indah itu membawa makna seperti yang disangka.
Mengulas tentang kisah haiwan jinak yang mengerumuni kubur tersebut, beliau menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang luar daripada hukum alam.
“Haiwan jinak datang ke sesuatu tempat bukan sebab ‘menghormati’ manusia. Ia boleh jadi kerana faktor alam… mungkin ada makanan, kawasan itu tenang, atau memang habitatnya.”
Namun di sinilah ujian sebenar.Apabila mata melihat sesuatu yang luar biasa, hati mula mencipta cerita.Sedangkan dalam Islam, alam bukan ‘penilai’ manusia.
“Haiwan jinak, pokok… semuanya makhluk Allah. Mereka tidak ada peranan untuk menghargai manusia dalam bentuk spiritual seperti yang kita bayangkan. Ganjaran itu datang terus daripada Allah, bukan melalui alam.”
Pahala Tidak Boleh Dibaca Melalui Tanda Pelik
Penjelasan itu menutup ruang tafsiran yang terlalu jauh.Namun dalam masa yang sama, membuka satu hakikat yang lebih dalam.
Bahawa kebaikan manusia, terutamanya terhadap alam, tetap mempunyai nilai yang besar di sisi Allah.
“Kalau seseorang itu baik dengan haiwan, menjaga alam, tidak zalim… semua itu adalah amalan yang besar pahalanya.
“Tapi pahala itu kita tidak boleh ‘baca’ melalui tanda-tanda pelik di dunia.
“Mungkin… itulah yang sukar diterima. Kerana manusia lebih mudah percaya kepada apa yang dilihat… daripada apa yang dijanjikan.”
Sedangkan janji Allah itu pasti. Kisah itu mungkin sekadar kebetulan, atau mungkin juga satu ujian.
Ujian untuk melihat… sejauh mana manusia memahami agamanya sendiri.Adakah kita berpegang kepada ilmu…atau hanyut dalam tafsiran rasa?
Kerana akhirnya… bukan haiwan itu yang menentukan kemuliaan seseorang.Tetapi Allah SWT… yang Maha Mengetahui setiap zarah kebaikan yang pernah dilakukan.

