Malam itu, suasana di sebuah kampung di Kuantan, Pahang sunyi luar biasa.
Jam menunjukkan 2.30 pagi waktu yang sering dikaitkan dengan alam yang tidak kelihatan.
Di situlah Baby Shima berdiri, bukan sebagai penyanyi, bukan sebagai artis, tetapi sebagai pelakon yang sedang mengejar satu perkara.
“Saya nak buat cerita yang betul-betul seram… sampai penonton rasa.”
Dari susuk ke pocong…
Menurut Shima, semuanya bermula dengan short film biasa di YouTube.
“Saya memang suka cerita seram. Jadi, untuk short film itu, mula-mula saya buat cerita susuk je… tapi lama-lama saya rasa macam tak cukup.”
Semakin mendapat perhatian penonton, dia mula mencabar diri sendiri.
“Saya nak lagi seram… lagi… lagi… sampai saya sendiri pun tak tahu cukup tu di mana.
“Akhirnya, saya memilih kisah yang paling ditakuti ramai, menyeramkan. Tajuknya Gangguan Pocong.”


Masuk liang lahad
Penggambaran dilakukan di sebuah tanah perkuburan, selepas mendapat keizinan penduduk kampung.
Lebih mengejutkan, untuk satu babak ekstrem, liang lahad digali khas.
“Saya yang nak liang lahad tu lebih dalam. Tak puas hati kalau tak dalam.
“Tiba waktu nak shooting, masa tu saya dah berdiri depan kubur. Saya tanya diri sendiri, betul ke aku nak buat ni?”
Namun kerana kru ramai dan penggambaran sudah dirancang, dia nekad.
“Liang lahad dah ada, jadi saya masuk je lah.”
Saat tubuhnya turun ke dalam liang lahad, Shima mula berasakan sesuatu yang sukar dijelaskan.
“Tiba-tiba rasa seram sejuk… lain macam. Macam bukan tempat kita.
“Dalam hati kata, eh betul ke apa aku buat ni? Saya teruskan juga… tapi memang rasa tak sedap hati.”
Sepanjang babak itu, dia berulang kali bertanya kepada cameraman.
“Dah ke belum? Dah siap shoot ke?”
“Cepatlah… saya rasa lain macam.”
Takut tengok cermin
Selepas penggambaran tamat, semua pulang seperti biasa ke apartment yang disewa.
Namun bagi Shima, malam itu baru sahaja bermula.
“Masuk saja apartment, terus rasa takut. Padahal sebelum ni okay je.
“Entahlah, saya jadi takut tengok cermin. Rasa takut nak masuk dapur, ruang tamu.
“Nak gosok gigi pun takut nak tengok cermin… rasa macam ada benda tengok kita balik.”
Walaupun terlalu penat, Shima tidak dapat tidur lena.
“Saya tidur… tiba-tiba terbangun. Bunyi sesuatu mula kedengaran dari luar bilik.
“Ruang tamu macam ada bunyi… dapur pun sama. Rasa seram sejuk sangat.”
Dia cuba tidur semula, namun berulang kali terjaga.
“Macam ada sesuatu tak bagi saya rehat.
Dalam ketakutan, saya hanya mampu berdoa.
“Masa tu saya baca apa yang saya tahu je… memang takut sangat.”
Demam… Dan rasa ‘diikuti’
Keesokan harinya, Shima jatuh sakit.
“Saya demam, badan rasa lain macam.
Lebih menakutkan, saya mula merasakan sesuatu sentiasa dekat dengan nya. Macam ikut sepanjang masa.
“Ke mana saya pergi, rasa macam ada benda ikut. Dekat sangat.
“Rasa itu berlarutan beberapa hari. Tidur pun teringat, rasa takut macam saya masih dekat kubur tu.”
Nampaknya bukan Shima seorang. Apa yang lebih mengejutkan, dia bukan satu-satunya yang mengalami perkara itu.
Beberapa kru turut demam dan mengalami simptom sama
“Bila kami borak, rupanya apa saya rasa, dia orang pun rasa benda yang sama.”
Situasi itu membuatkan mereka mengambil keputusan drastik.
“Kami terus setuju… shooting ni tak payah sambung.”
Dalam usaha menenangkan diri, Shima melakukan amalan yang dia mampu.
“Saya baca doa… minum air yang dibacakan pengamal perubatan tradisonal… sapu muka.”
Hari demi hari, keadaan mula berubah.
“Mula-mula masih rasa… tapi lama-lama okay sikit.
“Alhamdulillah… makin lama makin reda.”
Bagi Shima, pengalaman itu bukan sekadar cerita seram.
Ia satu pengajaran.
“Apa yang saya belajar daripada pengalaman ini, kadang-kadang kita nak sangat kejar sesuatu… sampai kita lupa batas.”
Dan sejak itu, dia lebih berhati-hati.
“Bukan semua benda kita boleh cabar… walaupun untuk content,” akhiri Baby Shima.
Foto: Sedutan Filem pendek Gangguan Pocong (Kuburin Jasadku) lakonan Baby Shima

