
“Bunyi kereta api itu, datang lagi…” Itulah kata-kata yang pernah diluahkan oleh beberapa penduduk.
Tiada landasan. Tiada stesen. Jauh sekali kewujudan kereta api.
Namun entah dari mana… Bunyi itu kembali bergema Terowong Bukit Tebuk yang sunyi.
Namun bagi penduduk di sekitar Dungun, Terengganu, Terowong Bukit Tebuk bukan sekadar tinggalan sejarah. Ia adalah tempat yang menyimpan ‘sesuatu’.
Menurut seorang penduduk tempatan, Farah Nadia, 37, kisah tentang terowong itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil.
“Dari kecil lagi, orang tua-tua dah pesan… jangan masuk terowong tu sesuka hati. Terowong itu berhantu,” katanya perlahan.
Pesan itu bukan sekadar untuk menakut-nakutkan. Ada sebabnya.
Terowong Bukit Tebuk suatu ketika dahulu pernah digunakan semasa zaman pendudukan Jepun.
Di situlah, dikatakan, landasan kereta api dibina untuk mengangkut bijih besi.
Namun pembinaan itu bukan tanpa harga.
“Ada cerita, pekerja tertimbus masa gali terowong tu.
“Memang tiada rekod rasmi. Tapi kisah itu terus hidup dari satu generasi ke satu generasi.
“Kisah ini jadi sebati dalam masyarakat apabila orang tua dulu-dulu cerita, pernah dengar bunyi kereta api pada waktu tengah malam.
“Bunyi itu bukan sekadar samar-samar.
Ia jelas. Dengarlah besi besi bergesel di atas landasan. Masalahnya, landasan itu sudah lama tiada.
“Bila orang pergi tengok… tak ada apa-apa.”
Hanya terowong gelap yang sunyi.
Dan angin yang masuk keluar tanpa arah.
‘Laluan Ghaib’
Menurut Farah, ada juga kisah mereka yang cuba masuk ke dalam terowong itu, tetapi tidak keluar seperti yang dijangka.
“Pernah ada orang masuk, lepas tu sesat walaupun terowong itu tidak panjang mana, dalam 300 meter sahaja.
“Seolah-olah laluan itu berubah. Bukan lagi seperti yang dilihat dari luar. Kerana itulah, ada penduduk yang mula menggelarnya sebagai ‘laluan ghaib’.
Farah sendiri mengaku, dulu, dia tidak pernah berani masuk jauh ke dalam terowong itu, sebab cerita seram itu sentiasa bermain di fikirannya.
“Cukup sekadar tengok dari luar… itu pun dah rasa lain macam. Tapi itu dululah.”
Malam di Terowong Bukit Tebuk tidak pernah benar-benar sunyi.
Ada ‘sesuatu’ pada tempat itu. Tidak kelihatan tapi dapat merasakannya.
“Bunyi dari gelap malam yang tidak sepatutnya wujud lagi.
“Namun hingga hari ini, tiada siapa yang benar-benar dapat menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku di situ.
“Namun cerita seram ini masih ‘diwarisi’ dari satu generasi ke satu generasi. Seolah-olah ianya memang wujud.”
Adakah ia hanya sisa sejarah yang masih “hidup” dalam ingatan manusia?
Atau… Ada sesuatu yang masih terperangkap di dalam terowong itu, menunggu… dan sesekali mengingatkan kehadirannya?
Bagi Farah Nadia, jawapannya tidak penting.
“Satu perkara yang saya pegang sejak kecil. Kalau tak ada sebab… jangan masuk.
“Namun masa telah berubah, pembangunan sekeliling membuatkan sesetengah penduduk wajib menggunakan terowong itu.”
Info Ringkas
Terowong Bukit Tebuk sepanjang 300 meter ini dibina pada sekitar tahun 1936 oleh syarikat perlombongan Jepun (Nippon Mining Company).
Tujuan pembinaannya digunakan sebagai laluan kereta api bijih besi dari Bukit Besi menuju ke Sura Gate (bandar Dungun), sebelum dieksport ke luar negara melalui pelabuhan.
Semasa pendudukan Jepun (1942 – 1945), terowong ini dikawal ketat kerana bijih besi adalah kepentingan utama ketika itu. Namun, ditutup pada tahun 1970 kerana perlombongan bijih besi tamat.
Foto : Utusan TV /Facebook Ganutalgia / Google







