SEORANG wanita yang disyaki menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Subang, baru-baru ini disyaki tidak waras dan sedang dirawat di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan, pengadu telah hadir ke Balai Polis Kampung Baru Subang bagi membuat laporan berhubung kejadian itu, kelmarin.
Menurut Mohd Hafiz, insiden tersebut turut tular di platform Threads.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.
“Hasil siastan mendapati suspek gagal memberi keterangan yang jelas dan disyaki tidak waras.
“Suspek telah dirujuk ke hospital bagi pengesahan status kesihatan mental.
“Kini, suspek masih dirawat di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menghormati keluarga suspek
“Sentiasa pastikan rumah dikunci dengan selamat dan bawa anak kunci bersama. Kecuaian boleh menyebabkan masalah lebih serius,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

