SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel kepada Filipina.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, individu tersebut telah pun dipanggil bagi dirakam keterangan.
“Pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau kerajaan Malaysia.
“Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut dsita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak menghentikan kontroversi berhubung dakwaan penghantaran diesel ke Filipina.
Beliau menegaskan penghantaran itu adalah berkaitan urus niaga syarikat asing Vitol yang beroperasi di Pengerang, Johor dan ia bukan syarikat Malaysia.
Kerajaan dan Petronas sebelum ini menafikan kontroversi dicetuskan beberapa pihak termasuk pembangkang yang menuduh kerajaan membekalkan minyak diesel kepada Filipina.
Petronas juga menafikan terbabit dalam penghantaran bekalan diesel dari Malaysia ke Filipina kerana ia tidak pernah memasuki sebarang perjanjian berhubung perkara itu dengan mana-mana pihak di Filipina.
Pasukan Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menafikan laporan media Filipina yang mendakwa Malaysia menghantar 329,000 tong diesel ke negara itu.
Menerusi kenyataan MTEN pada Sabtu, semakan awal mengesahkan diesel berkenaan bukan berasal dari Malaysia.
Dalam pada itu, MCMC memberitahu, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat setakat semalam.
Suruhanjaya tersebut berkata, kesemua kes berkenaan sedang dalam siasatan lanjut.
Katanya, antara kandungan palsu yang tular itu termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar; tarif elektrik naik; kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran; pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura dan penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

