DI sebalik tohmahan liar yang dilemparkan terhadap empayar perniagaan pulut kuning miliknya, pelakon Zarina Zainuddin, 56, memilih untuk tidak melatah.
Malah, dia tampil dengan hujah padu bagi menepis dakwaan kononnya kilang pengeluaran miliknya tidak menjaga aspek kebersihan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Isu yang bermula daripada sebuah hantaran di platform Threads itu mendakwa kononnya tahap sanitasi premis perniagaan pelakon itu meragukan sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif dan desakan netizen agar pihak berkuasa melakukan siasatan.
Menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu cubaan sabotaj yang tidak berasas, Zarina menegaskan bahawa setiap operasi pengeluaran dijalankan mengikut piawaian yang sangat ketat.
Dia tidak hanya bercakap kosong, sebaliknya bersandarkan kepada pengiktirafan rasmi yang telah diperolehinya sejak sekian lama.
“Saya mahu tegaskan bahawa kilang saya sentiasa dalam keadaan bersih dan paling utama, kami memiliki sijil halal serta pengiktirafan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
“Jadi, gambaran buruk yang cuba diberikan oleh pihak luar itu sama sekali tidak tepat dan sangat jauh daripada realiti operasi kami,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Next Level di Saloma Bistro malam tadi.
Zarina turut menyatakan rasa syukur kerana isu tersebut tidak menjejaskan kepercayaan pelanggan setianya.
Sebaliknya, apa yang berlaku seolah-olah menjadi strategi pemasaran percuma buat perniagaannya.
“Alhamdulillah, isu ini tidak memberi kesan negatif kepada perniagaan. Malah, saya perasan jumlah tempahan yang diterima semakin meningkat berkali-kali ganda sejak dakwaan ini tular.
“Pelanggan yang pernah menjejakkan kaki ke premis saya lebih tahu keadaan sebenar dan mereka tidak mudah terpedaya dengan khabar angin di media sosial,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai tindakan individu yang memulakan fitnah tersebutyang didakwa berpunca daripada ‘info bekas pekerja’, Zarina menyifatkan perbuatan itu sebagai satu tindakan mengikut emosi tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Walaupun mempunyai asas yang kuat untuk mengheret penyebar fitnah itu ke muka pengadilan, Zarina memilih jalan untuk memaafkan.
Dia tidak mahu membuang masa dan tenaga untuk perkara yang dianggapnya tidak memberikan pulangan bermanfaat.
“Kalau saya bawa ke mahkamah sekalipun, saya rasa tidak perlu.
“Berapa banyak sangatlah duit yang dia ada? Kalau saya menang pun, dia nak bayar guna apa?.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dan lebih baik saya fokus kepada perkara lain yang lebih penting.
“Saya maafkan dia dan anggap ini semua berlaku kerana dia terlalu mengikut emosi,” jelasnya.
Bagi Zarina, fokus utamanya kini adalah untuk memastikan kualiti produk pulut kuningnya kekal di tahap terbaik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Dia turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia melibatkan periuk nasi orang lain.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

