SERAMAI 15 anggota tentera cedera selepas trak yang dinaiki merempuh sebuah plaza tol di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kemalangan berlaku kira-kira 4.40 petang di Plaza Tol Bukit Teratai.
Jelasnya, siasatan awal mendapati trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dipandu dari arah Kem Sungai Besi menuju ke Kuala Kubu Bharu hilang kawalan sebelum melanggar kawasan plaza tol berkenaan.
“Kesan dari kemalangan itu seramai 15 orang penumpang yang berada di tempat duduk belakang telah mengalami kecederaan.
“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Ampang oleh pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Anuar berkata, dipercayai kemalangan berpunca daripada kegagalan brek trak berkenaan berfungsi.
“Seksyen 43 APJ 1987 jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
“Hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, denda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima belas ribu ringgit dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

