KEPUTUSAN permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA), institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 22 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan bagi kemasukan peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2026/2027 boleh disemak bermula 12 tengah hari sehingga 5 petang 31 Mei 2026.
Katanya, keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://upu.mohe.gov.my; atau melalui aplikasi mobile UPUPocket pada telefon pintar atau melalui aplikasi mobile MyGov.
“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian UA, IPTA dan Mara BPT tidak dibenarkan.
“Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 23 hingga 31 Mei 2026 di laman web UA, IPTA dan Mara BPT dan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan mulai 23 Mei ini setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
KPT memaklumkan pemohon yang tidak berjaya atau mendapatkan tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari bermula 22 Mei.
Manakala, katanya, rayuan untuk ke kolej komuniti pula boleh dihantar terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

