TAN Sri Muhyiddin Yassin boleh terus menyumbang pandangan dan buah fikiran dalam Majlis Presiden walaupun telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada UtusanTV, hari ini.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, soal pengganti Muhyiddin pula akan dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN.
“Soal siapa Pengerusi PN akan dibincang dan diputus dalam Majlis Tertinggi PN.
“Muhyiddin boleh terus menyumbang pandangan dan buah fikiran dalam Majlis Presiden PN,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memaklumkan, calon dari Pas untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN juga masih boleh dibincangkan.
Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua kepemimpinan PN yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang menjadi Pengerusi PN.
Difahamkan, peletakan jawatan itu terkait kemelut politik di Perlis yang akhirnya membawa kepada pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar baharu negeri itu.
Baca artikel lain: ‘Tindakan Muhyiddin letak jawatan berjiwa besar, sangat dihormati’
Hubungan antara Pas dengan Bersatu dilihat ‘retak menanti belah’ selepas berlakunya kemelut tersebut.
Ia selepas beberapa dakwaan daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Tiga ADUN dari Pas iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) kemudiannya telah dihentikan keahlian daripada parti berkenaan.
Mohd Shukri kemudiannya telah meletakkan jawatan atas alasan kesihatan.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas dilihat menyindir dan mengkritik Bersatu selepas pelantikan Menteri Besar baharu itu.
Antara yang mengeluarkan kenyataan secara sinis adalah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

