Pengurangan subsidi 150 liter: DAP perlu nyatakan pendirian

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

DAP perlu menyatakan pendirian berhubung cadangan pengurangan kuota subsidi bahan api RON95, kata Ketua Pemuda MCA Melaka, Tee Tian Leng.

Hal itu menurut Tiang Leng selepas Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong mendakwa media telah memetik kenyataannya di luar konteks serta menafikan kerajaan bercadang mengurangkan kuota subsidi bahan api RON95.

Katanya, perkara yang benar-benar menjadi perhatian rakyat bukanlah siapa yang memberi penjelasan, tetapi sama ada kerajaan sememangnya bersedia untuk terus mengurangkan subsidi bahan api sedia ada yang dinikmati rakyat.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Kabinet pada prinsipnya telah bersetuju untuk menarik balik subsidi petrol RON95 bagi golongan T20 dan T15. 

“Tidak lama selepas itu, Chin Tong pula mencadangkan pengurangan kuota subsidi bahan api kepada 150 liter sebulan. 

“Pertindihan yang jelas dari segi masa dan hala tuju dasar ini secara semula jadi menyebabkan rakyat menafsirkan bahawa kerajaan sedang “menguji reaksi rakyat” sebelum melaksanakan pengurangan subsidi bahan api yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Tian Leng berkata, memandangkan Chin Tong kini secara terbuka menafikan kenyataan tersebut, maka rakyat berhak menuntut beliau menyatakan pendirian dengan jelas sama ada beliau benar-benar menyokong cadangan mengurangkan kuota subsidi bahan api kepada 150 liter.

Katanya, Chin Tong tidak sepatutnya hanya menumpukan kepada bagaimana media melaporkan isu ini, sebaliknya perlu menjawab secara jelas apakah pendirian DAP sebenarnya?

Beliau berkata, DAP yang selama ini mengaku membela kepentingan rakyat, tidak seharusnya terus berdolak-dalik dalam isu ini. 

Menurutnya, rakyat tidak memerlukan penjelasan berbentuk perhubungan awam semata-mata, tetapi mahukan pendirian yang jelas.

“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak seharusnya memindahkan tekanan fiskal terus kepada rakyat ketika ekonomi masih lembap, harga barang terus meningkat, dan pendapatan rakyat gagal menangani kenaikan kos sara hidup, bahkan lebih teruk, umpama “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

“Banyak keluarga kelas pertengahan, peniaga kecil, jurujual dan pekerja yang perlu berulang-alik jarak jauh sudah pun menanggung beban berat. 

“Sebarang pelarasan terhadap kos bahan api akhirnya akan mencetuskan kesan berantai terhadap kos pengangkutan, makanan dan perbelanjaan harian,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan tidak boleh sekadar menyeru rakyat ‘bersama menghadapi kesukaran’, sedangkan rakyat dipaksa menanggung segala beban sementara kerajaan sendiri lepas tangan. 

Katanya, kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab sepatutnya terlebih dahulu memperbaiki pembaziran, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memperluas pertumbuhan ekonomi, bukannya terus membebankan rakyat.

Tegas beliau, kerajaan juga digesa supaya memastikan ketelusan dalam sebarang dasar melibatkan pelarasan mekanisme subsidi bahan api, serta mengelakkan penggunaan mesej kabur dan kenyataan bersifat ‘menguji reaksi’ yang hanya mencetuskan keresahan dalam pasaran dan masyarakat.

“Rakyat bukan menolak reformasi, tetapi menolak keadaan di mana mereka dipaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi tanpa pelan menyeluruh dan hala tuju yang jelas,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas perlu patuh arahan, perkukuh gerak kerja hadapi pilihan raya – Ahmad Samsuri

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan seluruh jentera Pas supaya mengutamakan disiplin, mematuhi arahan...

More Articles Like This